KETAGIHAN beraksi di pentas teater membuatkan Sarimah Ibrahim tidak berfikir dua kali sebaik saja ditawarkan watak baru oleh produser Mak Dara Nyonya.
Jelasnya, rasa puas dan seronok tatkala melontar skrip di depan penonton tidak mampu diterjemah dengan kata-kata.
Bagi Sarimah, peluang menghidupkan sesebuah watak dalam teater begitu indah dan istimewa.
Menghidupkan watak antagonis, Keponakan B dalam teater sentuhan pengarah berkaliber, Rosminah Tahir yang bakal dipersembahkan pada 6 hingga 12 Julai ini, wanita kacukan Melayu-Irish ini begitu seronok tatkala berkongsi kisah dan pengalamannya sepanjang sesi latihan.
“Bukan soal mencari populariti atau wang ringgit yang membawa saya ke pentas teater ini, sebaliknya ia berteraskan minat serta cinta yang sangat mendalam.“Saya sendiri bagai tidak percaya dengan pencapaian diri sendiri dalam menjayakan teater muzikal Tun Mahathir sebelum ini hingga pihak produksi meletak kepercayaan untuk mengundang saya lagi. Namun itulah rezeki dan suratan yang sudah tertulis.
“Berbeza kali ini, Mak Dara Nyonya adalah sebuah karya yang menceritakan kekuatan, kecekalan dan kesungguhan seorang wanita.
“Lahirnya watak saya sebagai seorang gadis yang rakus mencatur langkah bagi menjatuhkan si baik. Namun ia tidak semudah didengar dan dilihat kerana watak Keponakan benar-benar memberikan cabaran kepada saya.
“Peluang sebegini adalah cukup berharga untuk memimpin saya ke peringkat seterusnya dan tidak hanya berdiri sebagai seorang seni yang bersandar pada tugas mengacara saja,” katanya yang terkenal dengan jolokan nama Kak Mah.
Pada sesi fotografi itu, Sarimah hadir berkebaya hijau. Menyarung kain batik dengan tuturnya ramah tamah, dia tidak lekang mengangkat keistimewaan Mak Dara Nyonya. Meskipun belum lagi dipentaskan lagi, yakin Sarimah, ia sebuah pementasan yang sepatutnya ditonton.
Mak Dara Nyonya turut membariskan wajah-wajah popular lain termasuk Misha Omar, Tania Zainal, Zaifri Husin, Khatijah Tan dan Sherry Abdullah. Ia akan mula dipentaskan pada 6 Julai ini bertempat di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Mengalih sedikit fokus �perbualan, lekas bintang berusia 32 tahun yang pernah popular menerusi lagu Damai dan Kini Kau Tiada ini ingin melarikan diri dari terus terperangkap dengan persoalan mengenai cinta dan kekasih.
Walaupun memahami statusnya sebagai seorang selebriti yang mustahil untuk terlepas dari kisah peribadi, bagaimanapun Sarimah juga pemilik syarikat yang memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif, AVISI Sdn Bhd enggan lagi diselubungi kisah lama yang pernah melumpuhkan perasaannya.
“Biarlah perkara yang lepas terus menjadi sejarah dan nostalgia. Saya tidak mahu menoleh lagi ke belakang kerana bimbang ia akan mengurung perasaan untuk mengorak langkah ke depan.
“Apa yang penting adalah sekarang dan percaturan hari esok,” katanya yang mengakui masih berkawan baik dengan bekas suaminya juga jejaka Australia, Amir Andrew Abdullah yang dikahwininya selama dua tahun setengah sebelum berpisah pada penghujung 2008.
Perlahan-lahan, anak sulung daripada empat beradik yang dilahirkan di kota Dublin, Ireland ini membuka ceritanya. Mengakui ada kalanya dihinggap perasaan sepi, Sarimah bagaimanapun cuba mencari ruang lain agar rasa itu tidak terus melekat.
“Bohong kalau saya katakan semuanya seperti biasa kerana setiap hati wanita yang pernah dihimpit masalah peribadi dan rumah tangga seperti saya pasti akan berasa sunyi dan sedih. Namun untuk apa saya berhenti di situ dan meratap kesedihan yang tiada penghujungnya itu. Lantas saya cuba menyumbat seberapa banyak aktiviti harian yang boleh agar waktu itu sentiasa penuh.
“Jika ada waktu lapang tanpa sebarang penggambaran atau undangan mengacara majlis, saya akan habiskan masa bersama keluarga dan mengunjungi gimnasium. Selebihnya saya cuba bersosial bersama teman-teman namun bukanlah pergi ke kelab kerana semua itu sudah berakhir buat saya.
“Bagaimanapun saya tidak menafikan ada bertemu beberapa lelaki yang ingin mendekati saya. Namun semuanya sekadar kawan biasa dan saya belum nampak �sesiapa yang benar-benar boleh memimpin saya ke fasa kebahagiaan. Tidak timbul soal serik atau fobia kerana apa yang pernah �berlaku semua itu satu �pengalaman yang mendewasakan saya.
“Namun jika ada lelaki yang sesuai dan menjadi pilihan hati, saya pasti akan kembali bercinta kerana itu adalah fitrah dan ketentuan. Senario lama saya jadikan pengajaran untuk membina kehidupan baru yang lebih baik,” katanya yang penuh keyakinan.
PROFIL
NAMA PENUH: Sarimah Ibrahim
TARIKH LAHIR: 19 Februari 1978
USIA: 33 tahun
TEMPAT LAHIR: Dublin, Ireland
KELUARGA: Anak sulung daripada empat beradik
PENDIDIKAN: Ijazah jurusan psikologi
PENGACARAAN: Akademi Fantasia, The Biggest Loser Asia, Kata Kau, 1,2,3,Tukar!, Attic Show, Disney Channel, Hits From RIM, Kid@NTV7, Anugerah Juara Lagu 2002, Anugerah Juara Lagu 2003, Entertainment Now!, Prelude Kemuncak AIM, Force pf Nature Concert 2006, Galaksi, Fail Sulit AF, Ikon Malaysia, Ikon Asean
LAGU: Kini Kau Tiada dan Damai
DRAMA: Maka Diciptanya Perempuan, Seiras Hati
FILEM: Puteri Impian 2, Janji Diana, MX3, Gerak Khas 3, Apokalips
TEATER: Muzikal Tun Mahathir, Mak Dara Nyonya
JURUCAKAP PRODUK: Equal, Body Shop dan Reebox
PENCAPAIAN: Artis Baru Terbaik Anugerah Industri Muzik 2001, Penyampai TV Terbaik Anugerah Skrin 2005, Penyampai TV Terbaik Anugerah Seri Angkasa 2010
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: