Saturday, July 23, 2011

Lagu khas 6ixth Sense sempena Ramadan


INI adalah gaya 6ixth Sense yang ditubuhkan kira-kira enam tahun lalu yang lebih berteraskan muzik rock yang keras serta bingit bunyinya.


LEBIH kurang sembilan hari lagi, umat Islam di negara ini akan menyambut kedatangan bulan Ramadan. Sepanjang bulan yang mulia itu, ia bukan setakat dipenuhi dengan amal ibadat tetapi turut menyaksikan kemunculan banyak lagu dan album berunsur ketuhanan.

Kumpulan pop rock 6ixth Sense antara artis yang tidak mahu ketinggalan muncul dengan album seperti itu. Menurut salah seorang anggota kumpulan itu, Gjie, pada bulan puasa ini mereka akan tampil dengan album single berkonsepkan ketuhanan yang berjudul Keikhlasan.

Jelas Gjie atau nama sebenarnya Mohd. Faiz Azizi, ini merupakan kali pertama mereka menghasilkan album single bertemakan ketuhanan. Gitaris berasal dari Kuala Lumpur ini berkata, album itu diterbitkan bukan kerana mengikut trend, sebaliknya atas kesedaran kumpulannya.

“Sudah sampai masanya kami menghasilkan album seperti itu. Idea itu tercetus kerana faktor usia dan masa. Saya pun sudah berusia 26 tahun dan begitu juga dengan anggota-anggota 6ixth Sense lain yang mulai menghampiri angka 30 tahun.

“Ini adalah masanya kami berubah sedikit demi sedikit dan genre muzik yang kami ketengahkan itu juga adalah salah satu gambaran perubahan tersebut," kata Gjie kepada S3 sewaktu ditemui di Bengkel Cipta Ekspres di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Menerusi album single yang mengandungi dua lagu berjudul Keikhlasan dan Penjaga Hati itu, para peminat 6ixth Sense tentunya terkejut dengan perubahan tersebut. Dua lagu itu kata Gjie, bukan sahaja memaparkan lirik yang bermesejkan ketuhanan.

Sebaliknya, anak sulung daripada dua beradik ini menjelaskan perubahan ketara itu juga dapat didengar melalui rentak muzik mereka yang jauh lebih perlahan berbanding lagu-lagu dalam album-album 6ixth Sense sebelum itu.

“Dua lagu itu ciptaan saya dan vokalis kami, Adi. Idea menghasilkan lagu-lagu ketuhana seperti ini sudah kami rancang sejak setahun yang lepas. Ia bukan dipaksa-paksa atau mengikut trend muzik semasa tetapi datangnya daripada hati kami sendiri.

“Kami ingin berubah termasuklah daripada segi muzik. Kebetulan bulan Ramadan pun akan datang tidak lama lagi. Jadi, kami memilih bulan yang mulia ini untuk menonjolkan genre muzik yang belum pernah 6ixth Sense ketengahkan sejak ditubuhkan hampir enam tahun lalu," ujarnya.

Selain Gjie selaku gitaris dan Adi (penyanyi), 6ixth Sense yang turut dianggotai oleh Wan (dram), Athan (gitar) dan Ayoy (bass) itu tidak menafikan perubahan muzik mereka bukan asing pada hari ini. Malah, semakin ramai peminat yang menerima konsep muzik sedemikian.

Genre muzik ketuhanan yang agak perlahan rentaknya itu turut diketengahkan oleh ramai penyanyi mahupun artis berkumpulan termasuklah kumpulan rock seperti mereka di mana ia mendapat sambutan yang positif selain mempelbagaikan lagi kreativiti irama sedia ada.

“Kalau dulu apabila kumpulan rock seperti kami menyanyikan lagu dakwah atau berunsur ketuhanan ia kedengaran agak asing. Tetapi sekarang ia perkara biasa dan trend itu semakin meluas bukan setakat di Malaysia tetapi juga Indonesia.

“Kumpulan Ungu dari Indonesia misalnya sudah cuba memperkenalkan lagu-lagu bertemakan ketuhanan dalam album-album mereka. Kami harap album single Keikhlasan itu akan berada di pasaran pada bulan puasa ini atau selewat-lewatnya pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Saya yakin album yang berkonsepkan ketuhanan seperti itu bukan sahaja sesuai dipasarkan pada bulan Ramadan atau Hari Raya tetapi ia juga boleh didengar sepanjang masa. Mesej dalam lirik dan melodi lagunya boleh dihayati pada bila-bila masa," jelasnya.

Perubahan rentak muzik, melodi dan lirik lagu dalam album single terbaru 6ixth Sense itu tambah Gjie cukup berbeza berbanding tiga album rock mereka sebelum itu. Setakat ini mereka telah menghasilkan tiga album bertajuk Hari Ini (2006), 6ixth Sense (2007) dan +-xbahagi (2010).

Selain atas kesedaran sendiri, penghasilkan album ketuhanan 6ixth Sense itu juga banyak didorong oleh syarikat rakaman Rumpun Records yang menaungi mereka. Album single terbaru mereka itu kelak akan diedarkan oleh syarikat rakaman antarabangsa, Universal Music Sdn. Bhd.

“Album single terbaru kami ini adalah suatu permulaan buat 6ixth Sense. Kami harap album ini akan diterima dengan baik oleh para peminat kami. Secara tidak langsung ia akan memberi perangsang untuk kami berubah daripada segi muzik ke arah yang lebih positif,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: