|
|
KUALA LUMPUR - Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap percubaan kumpulan tertentu mencuri e-identiti (phishing) dengan mengambil kesempatan daripada langkah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengembalikan lebihan bayaran cukai ketika ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan semalam memberitahu, mangsa akan menerima e-mel tidak diundang (spam) kononnya daripada LHDN yang mengatakan mereka berhak mendapatkan pengembalian wang berjumlah RM700.
Mereka kemudian diminta mengklik logo sebuah bank tempatan yang disediakan di laman web palsu LHDN untuk meneruskan proses selanjutnya.
"Jika arahan ini diikuti, orang ramai tanpa disedari akan mendedahkan maklumat kewangan peribadi mereka," kata kenyataan itu yang memberi gambaran ringkas tentang modus operandi percubaan mencuri e-identiti oleh pihak tidak bertanggungjawab itu.
Sehubungan itu, MCMC mencadangkan orang ramai agar mengambil langkah-langkah pencegahan seperti menggunakan browser laman web terkini dengan penyaring e-mel phishing tersedia bina.
Selain itu, mereka juga tidak perlu mudah mempercayai e-mel yang mengumumkan kejayaan memenangi hadiah wang tunai atau pengembalian wang yang meminta maklumat perbankan di Internet.
Orang ramai juga dinasihati supaya tidak menjawab e-mel sedemikian dan menghubungi bank masing-masing jika ragu-ragu.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam LHDN, Masrun Maslim berkata, pihaknya ada menerima aduan mengenai e-mel palsu tersebut pada 21 Julai lalu dan siasatan terhadap perkara itu sedang dilakukan.
"LHDN menerima laporan mengenai aduan tersebut dari 37 cawangan LHDN di seluruh negara dan kami dapati e-mel tersebut sememangnya mempunyai unsur jenayah iaitu mencuri identiti serta maklumat akaun individu lain.
"Ini kerana LHDN tidak pernah menghantar sebarang e-mel atau pemberitahuan kepada pembayar cukai melalui e-mel. LHDN hanya menghantar surat rasmi kepada pembayar cukai berdaftar," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: