KUCHING: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk bersama isterinya dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes penyeludupan bayi dipercayai dari Indonesia susulan penahanan tujuh suspek termasuk dua pasangan suami isteri dalam serbuan ke sebuah rumah mewah di Stampin di sini, semalam.
SELAMAT ...seorang kanak-kanak dipercayai mangsa sindiket penjualan bayi berjaya diselamatkan polis, semalam.
Menurut sumber polis, rumah berkenaan didakwa dijadikan transit membawa masuk bayi dipercayai diseludup dari Indonesia sebelum dijual di sekitar bandar raya ini.
Difahamkan, lelaki bergelar Datuk dan isterinya dipanggil memberi keterangan selepas penahanan wanita warga Indonesia serta lelaki tempatan dipercayai cuba menjual bayi perempuan berusia 23 hari, malam kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner II Huzir Mohamad berkata, polis mengesan kegiatan itu selepas penahanan wanita Indonesia bersama lelaki tempatan di Batu Kawa.
Beliau berkata, hasil penangkapan itu, polis menjalankan siasatan susulan sebelum menahan seorang lagi lelaki tempatan di bandar raya ini pada hari sama.“Susulan itu, polis mendapat maklumat sebelum menyerbu rumah mewah berkenaan dan menemui tiga lagi bayi. Dua bayi lelaki masing-masing berusia tujuh bulan dan dua tahun 11 bulan manakala bayi perempuan berusia 27 hari itu sedang disahkan identiti.
“Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan sama ada wujud sindiket perdagangan manusia dengan tertangkapnya ketujuh-tujuh suspek terbabit,” katanya.
Menurutnya, semua bayi berkenaan termasuk berusia 23 hari berada dalam keadaan sihat sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak untuk perlindungan sementara.
Katanya, mereka yang ditahan termasuk dua pasangan suami isteri kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan.
“Siasatan kes itu dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Dagangan Orang dan polis tidak menolak kemungkinan ada tangkapan seterusnya,” katanya.
Beliau berkata, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dijalankan ke atas keempat-empat bayi berkenaan bagi membolehkan polis mengenal pasti identiti ibu bapa mereka.
Semalam, Harian Metro melaporkan seorang wanita sanggup menggadaikan rasa simpatinya terhadap seorang bayi perempuan untuk dijadikan bahan dagangan dalam sindiket penyeludupan di Bandar Baru Batu Kawa, di sini.
Kegiatan wanita berusia 32 tahun itu berjaya dikesan pihak berkuasa selepas ditahan di sebuah restoran ketika cuba menjual bayi berkenaan kira-kira jam 9 malam.
Wanita terbabit dipercayai menjadikan pasangan berkahwin dan tidak mempunyai anak sebagai sasaran menjual bayi berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: