Saturday, July 10, 2010

Tukaran perisik terbesar AS-Rusia


ANNA CHAPMAN antara perisik yang dibebaskan Amerika Syarikat.


VIENNA - Dua buah pesawat Amerika Syarikat (AS) dan Rusia meninggalkan Lapangan Terbang Schwechat di bandar raya Vienna, Austria, di sini, pagi semalam selepas proses pertukaran sejumlah 14 ejen perisik selesai.

Rusia telah membebaskan empat pengintip yang bekerja untuk Barat bagi mendapatkan 10 perisik Rusia yang ditahan di AS.

Ia merupakan pertukaran perisik yang paling ramai pernah dilakukan sejak Perang Dingin antara AS dengan Rusia yang sebelum ini dikenali sebagai Kesatuan Soviet.

Pesawat khas Rusia dan AS membawa perisik-perisik itu ke bandar raya ini dan kemudian berlepas selang 15 minit setelah pertukaran itu dilakukan.

Dalam satu kenyataan, satu sumber pihak perisikan Rusia berkata: "Beberapa rakyat Rusia yang sebelum ini ditangkap di AS telah berlepas dengan menaiki sebuah pesawat Rusia dari Vienna ke tanah air."

Sebuah pesawat yang membawa 10 perisik Rusia yang ditangkap di AS dua minggu lalu tiba di Vienna dari New York dan diletakkan berdekatan sebuah pesawat Kementerian Situasi Kecemasan yang dipercayai membawa empat perisik Rusia yang dibebaskan selepas bekerja untuk Barat bagi mendapatkan maklumat mengenai Rusia.

Penyumbang dua buah pesawat yang membawa perisik untuk ditukarkan tidak didedahkan kepada media.

Rusia mengesahkan bahawa satu perjanjian telah dicapai dengan AS bagi menamatkan krisis perisik yang menggemparkan Barat dua minggu lalu.

Jabatan Keadilan AS dalam satu kenyataan semalam mengesahkan Moscow telah membebaskan empat perisik bagi mendapatkan 10 ejen perisik Rusia yang ditahan di AS.

Seramai 10 pengintip Rusia termasuk ejen seksi menggoda yang ditahan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Anna Chapman kini dibebaskan AS dan menuju ke Moscow dengan menaiki sebuah pesawat.

Sejak tiba di AS beberapa tahun lalu, Anna, 28, berjaya memajukan perniagaan hartanah dalam talian miliknya selain menjalin hubungan dengan kelompok pembuat dasar di AS dan dia biasa dilihat menghadiri majlis sosial.




Namun, baru-baru ini, beberapa pendedahan menyatakan, kejayaan Anna dalam perniagaan sebenarnya didalangi pemerintah Rusia.

Wanita itu menerima habuan £670,000 (RM3.2 juta) dari Moscow untuk memajukan firmanya di AS.

Dalam perkembangan berkaitan, semua pengintip itu telah diberikan masa selama 24 jam untuk bersetuju dengan perjanjian pengusiran tersebut jika tidak mahu dihukum penjara.

Anak-anak beberapa pasangan pengintip itu pula diberi pilihan untuk menyertai ibu bapa mereka di Rusia.

Langkah pertukaran ejen perisik itu dipuji oleh ramai diplomat sebagai bukti peningkatan dalam hubungan antara AS dan Rusia.

Peristiwa tersebut juga dilihat sebagai pertukaran pengintip terbesar sejak era Perang Dingin antara negara bekas Kesatuan Soviet (USSR) dengan Barat terutamanya AS yang bermula pada tahun 1947 hingga 1991.

Ejen-ejen Rusia itu diusir dari AS setelah mereka mengaku salah kerana menjadi pengintip Moscow.

Setakat semalam proses pertukaran itu berjalan lancar dan semua pengintip itu menuju ke negara masing-masing.

Bagaimanapun, Anna yang pernah berkahwin dengan seorang rakyat Britain sebelum berhijrah ke AS dilaporkan berikrar untuk kembali semula ke Britain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: