
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Mahad Nor Abdullah berkata, mangsa, Mohd Din Derasah, 36, adalah anggota tentera di Batalion Tiga Rejimen Sempadan, Pengkalan Hulu dan berasal dari Kedah itu mati setelah terkena tembakan pada bahagian kepala dalam jarak 15 meter dan senjata yang digunakan dipercayai senjata jenis senapang patah.
“Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 4.30 pagi semalam dan berkemungkinan anggota berkenaan bersama rakannya sedang menjalankan tugas rondaan sekitar kawasan Tasik Temengor,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Katanya, mayat mangsa dibawa keluar dari kawasan Pulau Chiong, sekitar jam 8 pagi semalam oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Gerik yang diketuai Asisten Superintendan Ng Eng Hoi.
“Mayat mangsa dibawa terus ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, untuk bedah siasat.
“Polis akan melakukan siasatan lanjut terutama berkaitan penggunaan senapang patah yang turut dipercayai dibuang ke dalam sungai sekitar kawasan kejadian,” katanya.
Menurutnya, waris mangsa telah dimaklumkan Batalion Tiga Rejimen Sempadan berkenaan kejadian dan mereka hadir ke IPD Gerik untuk melihat sendiri serta mengiringi jenazah.
Sementara itu, di IPOH, balu mangsa, Zuhanizah Halim, 32, berkata, kehilangan Mohd Din amat dirasai terutama pada anak bongsunya yang amat rapat terhadap arwah.
“Arwah seorang yang sangat periang dan tiada tanda-tanda dia akan `pergi’. Semasa menerima panggilan polis lebih kurang pada jam 7.30 pagi, rasa macam tidak percaya, masa itu saya boleh lagi mengawal perasaan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di HRPB.
Katanya, arwah kempunan untuk merasai jeruk petai yang dibuat ibunya.
“Arwah sempat menjamah nasi goreng berulamkan petai sebelum kembali ke kem namun, sempat bawa 10 keping petai sebelum ke pulau.
“Pada malam sebelum kejadian, arwah sempat telefon kami sebelum tidur yang kerana ia kebiasaan arwah yang prihatin terhadap kami,” katanya.
Arwah meninggalkan tiga orang anak berusia lima hingga 12 tahun dan jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Keda, Bendang Man, Sik, Kedah hari ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: