|
|
PANTANG mendengar muzik, tubuhnya pasti akan bergerak mengikut irama yang dimainkan. Hentakan kaki, goyangan badan dan anggukan kepala antara perkara asas yang dilakukan oleh Aiman Syazwan Roslan.
Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan remaja itu begitu obses dengan tarian. Ironinya sebelum ini, Aiman merupakan seorang remaja yang obes dengan beratnya 127 kilogram (kg).
Namun, hobi pelajar Ijazah Sarjana Muda (Kepujian), Perhubungan Awam dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini menunjukkan kesan positif apabila badannya berjaya dikurangkan dengan aktiviti menari.
"Menari boleh diibaratkan sebagai senaman fizikal yang berkesan. Jika tidak menari dalam sehari, hidup saya ada yang tidak lengkap," kata anak kelahiran Pulau Pinang berusia 23 tahun ini kepada GenK.
GenK: Sejak bilakah Aiman mula gemar menari?
AIMAN: Sejak kecil, tetapi ia menjadi lebih obses selepas saya menonton filem Fast Forward pada tahun 1991. Ia sebuah filem mengenai tarian dan sejak itu saya sering terikut-ikut dengan rentak tari mereka hinggalah sekarang.
Siapakah penari yang paling anda gemari?
Michael Jackson kerana gaya tariannya yang sangat bertenaga. Selain itu, saya juga peminat setia Justin Timberlake yang berjaya mengimprovisasi gerak tari Michael dengan hebat.
|
|
Pengalaman menari yang paling diingati?
Saya pernah membuat persembahan tarian Justin Timberlake sewaktu menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada tahun 2005.
Memang seronok kerana selepas persembahan, semua peserta memberi tepukan gemuruh dan standing ovation kepada saya.
Pernahkah Aiman menghadiri mana-mana kelas tarian?
Secara jujurnya saya tidak pernah mengikuti kelas tarian. Biasanya saya belajar menari melalui video yang dimuat turun dari Internet seperti di laman YouTube dan sebagainya.
Cuma, baru-baru ini saya mengikuti bengkel tarian anjuran Dentyne di Pulau Pinang sempena kempen Dentyne ConfiDance Movement.
Bagaimanakah Aiman berjaya menurunkan berat badan melalui tarian?
Saya banyak mempelajari pelbagai jenis tarian. Antaranya termasuklah Zumba Fitness, The Mix of Salsa, Samba, Reggaeton, Cumbia, Merengue, Flamenco dan beberapa jenis lagi yang mampu mengeluarkan peluh.
Malah, melalui kesemua tarian tersebut terutama Zumba Fitness yang dipelajari dalam bentuk video, saya berjaya menurunkan 30 kg berat dalam masa empat bulan tanpa perlu menghabiskan wang untuk ke gim.
Apa yang penting, jangan mudah berputus asa. Setiap pekerjaan yang kita lakukan perlu disertai dengan kesungguhan dan keazaman yang tinggi.
wow terharu. tengss!
ReplyDelete