
PADANG BESAR - Program Gedung Makanan Negara yang dilaksanakan Felda mulai tahun ini dijangka menjadikan separuh daripada kira-kira dua juta peserta Felda sebagai usahawan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, pada masa ini kira-kira 30 peratus daripada peserta Felda telah menjadi usahawan menerusi idea yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak itu.
Beliau berkata, sebanyak RM700 juta akan disalurkan secara berperingkat dalam tempoh 10 tahun bagi menjayakan program tersebut yang akan menyaksikan Felda menjadi pengeluar utama makanan negara.
"Peruntukan tersebut akan disalurkan terus kepada Felda dari semasa ke semasa," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) 2010 peringkat wilayah Alor Setar di Felda Rimba Mas, di sini semalam.
Beliau berkata, menerusi program tersebut, empat projek utama disenaraikan iaitu ternakan lembu daging, sayur-sayuran, akuakultur dan pengeluaran buah-buahan.
Karnival Iktiraf yang berlangsung di Felda Rimba Mas itu adalah yang pertama daripada 10 siri yang akan diadakan di 10 lokasi mewakili wilayah Felda di seluruh negara bermula bulan ini sehingga November depan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: