JIKA dihitung usianya yang mencecah 15 tahun, pasti majalah Saji terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB) dianggap bak remaja yang baru membesar untuk mengenal dunia.
Walaupun usianya masih muda berbanding majalah bertemakan wanita yang mungkin berusia puluhan tahun, namun Saji bukanlah calang-calang bahan bacaan. Sebaliknya ia merupakan sebuah majalah pelopor yang menyajikan variasi resipi dan masakan terkini.
Majalah yang berkonsepkan masakan dan mula berada di pasaran sejak Julai 1995 itu membawa pembacanya menjelajah keseronokan dunia gastronomi yang menyelerakan. Setiap bulan, ia akan dihidangkan dengan pelbagai ciri penyediaan pemakanan seimbang yang lazat dan baik untuk kesihatan.
Kehadiran majalah itu secara tidak langsung berjaya menarik perhatian individu yang gemar mencuba sesuatu yang baru terutama dalam aspek masakan.
Kini, dengan edaran sebanyak 65,000 naskhah dan jumlah pembaca mencecah 300,000 sebulan, majalah Saji masih mampu bersaing dalam pasaran penerbitan majalah berunsur masakan di negara ini.
Baru-baru ini, bertempat di Restoran Felda Villa, Jalan Semarak, Kuala Lumpur, Saji mengadakan majlis menyambut ulang tahunnya yang ke-15 dalam suasana yang serba santai tetapi meriah.
Sempena sambutan ulang tahun itu juga, Saji turut melancarkan tiga buah buku kompilasi bertajuk Buku Resipi Pilihan Saji.
Menurut Pengurus Besar Operasi UKSB, Zurzaliza Bajuri, penganjuran majlis eksklusif itu bertujuan untuk menghargai pembaca yang setia dan menjadi tonggak terhadap prestasi yang berjaya dikekalkan oleh majalah Saji hingga kini.
"Lebih istimewa majlis itu turut diserikan dengan pelancaran tiga buah buku resipi terdiri daripada Rendang, Pencuci Mulut dan Lauk Pauk. Buku-buku ini menghimpunkan resipi terbaik pilihan Saji yang dikumpulkan dari tahun 2006 hingga 2009.
"Rendang contohnya memaparkan sebanyak 50 resipi berbeza seperti rendang ayam, limpa, daging dan sebagainya. Justeru, diharap himpunan jenis rendang ini mampu memberi inspirasi untuk memasak kepada kaum hawa di luar sana terutama untuk dijadikan hidangan istimewa pada pagi hari raya yang bakal menjelang tiba," katanya.
Begitu juga dengan buku Lauk Pauk dan Pencuci Mulut yang masing-masing menyediakan 50 resipi istimewa untuk hidangan seisi keluarga dan juga sewaktu penganjuran majlis-majlis yang bersesuaian seperti perkahwinan, pertunangan dan majlis doa selamat.
Bahan bacaan setebal 119 muka surat itu mula dipasarkan sejak 27 Jun lalu di sekitar Lembah Klang pada harga RM9.90 senaskhah. Untuk cetakan edisi sulung, sebanyak 20,000 naskhah dikeluarkan.
Pada majlis itu juga, para tetamu berpeluang beramah mesra dengan selebriti dan chef-chef jemputan yang hadir. Antara selebriti yang memeriahkan suasana termasuklah Riezman Khuzaimi dan isterinya, Mustapha Kamal dan isteri, Chef Zam, Chef Ismail dan ramai lagi.
Majlis yang diacarakan penyanyi, Haiza dan turut dihadiri oleh Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali, Ketua Pengarang Majalah UKSB, Badrul Azhar Abdul Rahman dan Pengarang Kanan Unit Majalah Keluarga, UKSB, Normala Hamzah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: