Tuesday, July 6, 2010

Ronaldo bayar 'ibu tumpang' untuk anak


Ronaldo


LONDON - Ketua pasukan bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo didakwa membayar 'seorang ibu tumpang' untuk mendapatkan anak lelakinya yang dilahirkan semasa skuadnya bertanding di Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, lapor sebuah akhbar semalam.

Semalam, akhbar-akhbar menyiarkan pengakuan Ronaldo bahawa dia kini menjadi seorang bapa tetapi identiti ibu yang melahirkan anaknya dirahsiakan kerana pemain tersebut dikenali ramai masih bujang.

Akhbar Diario de Noticias melaporkan bayi itu dikandung ibu tumpang tersebut sejak musim panas lalu di San Diego, Amerika Syarikat (AS) semasa Ronaldo sedang bercuti.

Bayi seberat 4.30 kilogram itu dilahirkan pada 17 Jun lalu ketika bintang pasukan Portugal itu berada di Afrika Selatan untuk perlawanan Piala Dunia 2010.

Menurut sebuah akhbar, anak itu hasil hubungan Ronaldo dengan seorang wanita AS yang dibayar supaya menyembunyikan identitinya.

Bayi itu kini dipercayai dijaga oleh keluarga pemain tersebut di Algarve, selatan Portugal.

Kakak Ronaldo, Katia Aveiro menyatakan berita Ronaldo menjadi bapa itu adalah benar.

Aveiro memberitahu, bayi tersebut mempunyai mata dan rambut berwarna coklat seperti Ronaldo.

Stesen televisyen RTP di Portugal mendakwa bayi yang dilahirkan setinggi 53 sentimeter itu akan dipanggil Ronaldo.

Ronaldo menjadi bapa dua hari selepas skuadnya menentang pasukan Ivory Coast dan empat hari sebelum membantu Portugal membelasah Korea Utara dengan keputusan 7-0.

Akhbar itu turut melaporkan Ronaldo terbang ke Algarve untuk bertemu dengan anaknya, sebaik sahaja Portugal tersingkir daripada Piala Dunia selepas dikalahkan oleh Sepanyol pada 29 Jun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: