
KUALA LUMPUR - Simpati dengan nasib golongan fakir dan terpinggir di ibu negara, satu program khas pemberian makanan kepada golongan tersebut di masjid-masjid dan surau-surau terpilih di ibu negara dilancarkan semalam.
Buat permulaan, sebanyak 250 bungkus makanan diagihkan di Masjid Negara untuk dinikmati oleh golongan tersebut pada waktu makan tengah hari sekali gus menarik mereka supaya mendekati masjid.
Ketika merasmikan program tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berharap persepsi lama bahawa masjid dan surau hanya tempat bersolat semata-mata dapat diperbetulkan.
"Fungsi masjid dan surau sebaliknya perlu lebih proaktif bagi menarik masyarakat melaksanakan aktiviti kemasyarakatan," katanya.
Program tersebut yang bermula 5 Julai lalu dibiayai sepenuhnya melalui peruntukan Baitulmal Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Ia turut mendapat kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Islamic Outreach ABIM, Yayasan Salam dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).
Kosmo! sebelum ini pernah menyiarkan kisah 'setinggan Masjid Negara' dan mereka yang merempat di Dayabumi dan rata-rata mereka menjadikan masjid sebagai lokasi tempat tidur.
Sementara itu, Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali memberitahu, antara lokasi yang terlibat dengan program berkenaan ialah Masjid Negara, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Masjid Jamek Kampung Baru, Surau Perkim, Surau Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Rumah Sinar Salam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: