Friday, July 9, 2010

Rahsia bahagia Vanida

pix_gal0
Bukti rumah tangga pasangan sesama artis boleh berkekalan

SEJAK kebelakangan ini, berderet nama artis boleh dilaporkan berada di Mahkamah Syariah untuk menyelesaikan kes penceraian masing-masing. Ada yang baru mendirikan rumah tangga dua atau tiga tahun, tiba-tiba mengemukakan permohonan untuk bercerai.

Secara kebetulan, kebanyakan penceraian ini membabitkan pasangan sesama artis. Apakah memang benar berkahwin sesama artis sukar untuk bertahan sedangkan mereka sudah saling memahami soal kerjaya masing-masing?Itu semua mungkin kebetulan saja. Masih ada pasangan sesama artis yang kekal bahagia sehingga sekarang. Antaranya ialah Vanida Imran dan bekas anggota kumpulan muzik Deadmushroom, Rashidi Ishak.Oktober ini genaplah sedekad pelakon ini melayari kehidupan berumah tangga. Dikurniakan suami penyayang dan sepasang cahaya mata comel serta semakin membesar iaitu Mikhail Imran, 8 and Maryam Rashika, 5, membuatkan kehidupan Vanida dan Rashidi atau Shidi kini sedang enak diulit bahagia.

Memang jarang ada cerita bukan-bukan membabitkan pasangan ini. Jika ada pun, itu adalah asam garam kehidupan sebagai selebriti. Kejayaan pasangan ini mempertahankan keharmonian rumah tangga membuatkan ramai yang tertanya-tanya apakah rahsianya.

Maklum sajalah, sebagai anak seni, ujian dan dugaan adalah makanan harian mereka. Itu belum lagi gosip panas yang melanda, jika tidak kebal iman di dada dan disertai dengan sabar pasti goyah juga benteng yang dibina.

Pada ketika ini heboh mengatakan bahawa program Sehati Berdansa bagaikan membawa badi kepada pesertanya apabila mahligai beberapa pasangan yang menyertai rancangan itu roboh di pertengahan jalan, membuatkan sedikit sebanyak nama mereka terpalit sama kerana pasangan ini pernah menyertai program ini pada musim pertama dan bergelar juara.
Bukan mendoakan yang tidak baik, tetapi mahu juga mendengar maklum balas wanita ini terhadap isu yang amat menakutkan setiap pasangan yang berkahwin.
Tidak menganggap apa yang berlaku itu sebagai badi, Vanida berkata, apa yang berlaku itu hanyalah satu kebetulan.

Kalau hendak cakap banyak pun, perkara ini ada kaitan dengan rumah tangga masing-masing. Saya sendiri menganggap keruntuhan rumah tangga mereka bukanlah disebabkan badi program itu, tetapi hanyalah satu kebetulan dan takdir. Bagi saya sendiri, program itu sendiri sebenarnya mengeratkan lagi hubungan saya dan suami.

Selama dua bulan terbabit dalam program itu, wajah Shidi sentiasa di depan mata saya. Tapi tak dinafikan, kerana program itu juga ada pasangan yang berselisih faham terutama apabila ada di antara pasangan masing-masing tidak boleh menari dengan baik. Shidi juga begitu, dia memang tidak boleh menari. Sebagai isteri, kita tidak boleh memaksa pasangan kita buat seperti apa yang kita hendak.

Kesudian dia untuk menyertai program itu serta bersabar menjalani latihan yang agak sukar itu sudah cukup bermakna buat kita. Tak perlulah sampai nak bergaduh depan orang ramai hanya kerana soal menari, ulas Vanida.

Tambahnya, suami isteri harus saling bertolak ansur bagi mengekalkan kerukunan rumah tangga. Dan baginya, mereka mempunyai formula tersendiri untuk menyemarakkan lagi api cinta mereka.

Selalu jika tidak terbabit dalam apa-apa aktiviti penggambaran, kami lebih senang menghabiskan masa bersama-sama. Kami juga beruntung kerana mempunyai hobi yang sama iaitu menyanyi. Jadi ada juga perkara yang boleh dikongsikan bersama. Terbaru, saya sekarang berjinak-jinak dalam sukan tenis kerana Shidi dan anak saya, Mikhail suka sukan itu.

Jadi, Shidi yang akan ajar saya bermain. Dari situ ia mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan kami, katanya yang ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Isabella yang berlangsung di Cathay Cineleisure, Mutiara Damansara, petang semalam. Hadir sama adalah pelakon drama terbabit iaitu Rosyam Nor, Omar Abdullah, Corrine Adriene, Izreen Azminda dan Raja Nurbaizura.

Bercerita mengenai cahaya matanya, dalam nada teruja, Vanida berkata anaknya yang sulung itu sudah menampakkan ciri-ciri untuk mengikut jejak langkah mereka.

Kami belikan dia kamera digital dengan harapan dapat merakam gambar yang artistik. Tetapi dia lebih senang menggunakan video dan merakamkan aksi pertarungan patung Star Warz yang dikumpulkannya itu dan menjadikannya sebuah cerita. Saya dan suami tak kisah kalau dia betul-betul menunjukkan minat dalam bidang lakonan atau muzik.

Tapi, dia haruslah menghabiskan dulu persekolahannya, kata Vanida yang pernah dinobatkan sebagai pelakon wanita popular sewaktu Festival Filem Malaysian ke-20 sekitar tiga tahun lalu.

Tewas pujukan Rosyam

SEJAK mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak, memang menjadi prinsip Vanida untuk tidak mengambil tawaran drama bersiri. Bukan mengada-ngada atau memilih, tetapi dia perlu memikirkan tanggungjawabnya terhadap keluarga.

Bagaimanapun, tawaran yang diterima daripada Rosyam, mengubah pendiriannya.
Memang saya sudah lama tidak mengambil tawaran drama bersiri. Tempoh yang lama membuatkan saya terpaksa mendahulukan keluarga dari segalanya. Namun, apabila Rosyam menelefon saya tahun lalu dan meminta saya bersedia kerana dia mahu mengambil saya berlakon dalam drama bersirinya, saya sudah fikir panjang.

Maklum sajalah, inilah peluang untuk saya berlakon bersamanya. Bukan tidak pernah berlakon dengannya sebelum ini tetapi wataknya tidaklah sebesar ini. Namun apa yang membuatkan saya kembali menjadi was-was ialah apabila diberitahu yang saya akan menjalani penggambaran di London dan Paris untuk drama ini. Masa itu berbelah bagi juga perasaan kerana terpaksa berjauhan dengan anak-anak.

Tapi, apabila memikirkan kekuatan skrip drama ini serta peluang untuk belajar sesuatu dari Rosyam, saya terima pelawaannya dan terpaksa berada di lokasi penggambaran selama tiga bulan. Mujurlah Shidi ada dan dialah yang menjaga anak-anak, jelas pelakon ini sambil ketawa.

Memegang watak Isabella dalam drama bersiri terbitan Suhan Movies ini tetap memberi cabaran kepada Vanida walaupun dia boleh dikatakan antara pelakon wanita yang berpengalaman serta yang terbaik di negara ini.

Cabaran saya adalah cuaca. Ingatkan masih dalam musim panas tetapi rupa-rupanya masih sejuk. Kesejukan membuat saya tidak dapat melontarkan dialog dengan baik. Bagaimanapun, lama kelamaan, saya sudah dapat mengawal keadaan dan penggambaran dapat dilaksanakan dengan jayanya, tutur Vanida yang masih mempunyai dua filem yang sedang menanti untuk ditayangkan iaitu Magika dan Jalan Lama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: