Thursday, July 1, 2010

'Pertemuan yang menghampakan'


AZIRA bersama suaminya, Nazim ketika keluar dari HTF selepas menemui pengarah hospital itu di Kangar semalam.


KANGAR - Pergi dengan harapan, balik dengan penuh kehampaan.

Itulah yang disimpulkan oleh suami Azira, Nazim Mohd. Salleh, 43, selepas dipanggil untuk bertemu Pengarah Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Dr. Ahmad Nordin Mohd. Jais di hospital itu semalam.

Menurut Nazim, dalam pertemuan selama sejam setengah itu, pelbagai perkara dibangkitkan berhubung masalah yang dialami oleh Azira namun mendakwa pihak HTF gagal memberi jawapan yang memuaskan.

Dia berkata, hospital masih berdolak-dalik semasa memberi penjelasan mengenai punca sebenar kejadian malang menimpa isterinya itu.

"Pihak hospital tidak mahu memohon maaf atau mengakui kesilapan ketika saya menyentuh perkara tersebut, pengarah sebaliknya mengalihkan kepada isu lain atau memberi alasan yang saya sukar difahami.

"Saya benar-benar kecewa dan terkilan pada pertemuan hari ini (semalam), kami mengharapkan hospital menjelaskan perkara sebenar mengenai insiden itu," dakwanya ketika ditemui selepas pertemuan tersebut.

Kosmo! Jumaat lalu melaporkan mengenai nasib malang seorang ibu muda, Azira Azizan, 25, mendakwa dia kini terpaksa menanggung derita apabila sebelah matanya mungkin menjadi buta akibat kerosakan saraf.

Azira yang menetap di Kampung Padang Jawa, di sini menyatakan kerosakan saraf berlaku di bahagian muka selepas pasukan perubatan HTF menyuntik ubat di lehernya.

Tindakan para doktor itu dilakukan ketika mereka cuba menyelamatkan bayi dalam kandungan Azira yang tersangkut ketika bersalin. Bagaimanapun bayi pasangan itu meninggal dunia.

Mengulas mengenai pertemuan tersebut, kata Nazim, pengarah HTF memberitahu punca kecacatan isterinya tiada kaitan dengan tindakan doktor pakar menyuntik leher Azira ketika bersalin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: