
KUALA LUMPUR - Golongan penagih dadah yang mengunjungi Pusat Khidmat Masyarakat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Jalan Dato' Onn di sini, melahirkan rasa terharu apabila diberi makan tengah hari secara percuma semalam.
Malah, rata-rata mereka yang datang untuk menjalani rawatan terapi metadon itu menyifatkan bungkusan makanan yang disediakan melalui program khas pemberian makanan percuma itu sebagai satu rahmat kerana dapat mengurangkan beban hidup masing-masing.
Seorang penerima yang hanya mahu dikenali sebagai Mamat berkata, program itu memberi banyak manfaat kepada golongan penagih sepertinya yang sering ke tempat itu untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, bantuan makanan percuma itu secara tidak langsung dapat meringankan beban kos makanan bagi mereka yang majoritinya datang daripada keluarga susah.
"Kami berterima kasih kepada pihak yang memberi bantuan ini kerana ia benar-benar membantu golongan seperti kami yang bukan selalu dapat menikmati makanan seperti ini," katanya.
Golongan bekas penagih dadah merupakan sebahagian daripada golongan sasar program yang dibiayai di bawah peruntukan Baitulmal Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan itu.
Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom melancarkan program tersebut di Masjid Negara yang bertujuan untuk membantu golongan fakir dan terpinggir di ibu negara.
Bagi menjayakan program itu, peruntukan sebanyak RM400,000 disediakan bagi tempoh enam bulan untuk menyediakan makanan yang akan diagihkan di beberapa buah masjid dan surau terpilih pada setiap hari.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: