PELAKON Misha Omar menganggap aksi mesra dengan pelakon, Razali Hussain dalam pementasan teater muzikal Uda dan Dara tidak akan mengundang reaksi negatif para penonton.
Misha yang memegang watak Dara dalam teater muzikal itu berkata, dia perlu menghilangkan rasa kekok dipeluk dan didukung Razali untuk menjiwai watak tersebut.
Dalam pementasan itu Razali memegang watak uda.
"Saya rasa peminat lebih memahami apa itu realiti dan lakonan. Kalau kemesraan yang anda lihat di pentas itu adalah kemesraan antara Uda dan Dara yang diterjemahkan menerusi Razali dan Misha, ia adalah sesuatu yang bagus.
"Macam mana kita nak hidupkan satu-satu watak sekiranya dalam lakonan itu kami tidak dapat menghidupkan watak cinta dengan baik," katanya kepada pemberita sejurus selesai pementasan Uda dan Dara, Isnin.
Misha yang cukup dikenali menerusi lagu popular beliau, Bunga-bunga Cinta diminta mengulas sama ada aksi-aksinya berpeluk bersama Razali mungkin mengundang kemarahan para peminatnya.
Uda dan Dara ialah karya agung Sasterawan Negara Allahyarham Datuk (Dr) Usman Awang yang menceritakan sebuah kisah cinta tragis.
Dalam pementasan itu, Misha dan Razali mampu melakonkan watak mereka dengan baik termasuklah saling berpelukan malah dalam satu situasi, Razali mendukung Misha.
Apa pun, Misha berharap peminat memahami dipersembahkannya adalah untuk tatapan penonton dan ia merupakan satu tuntutan.
"Sebenarnya setiap babak yang dilakonkan itu memerlukan pengorbanan daripada saya. Saya kena merelakan diri melakukan begitu bagi menjiwai watak Dara.
"Kalau di luar, tak berani saya nak buat macam itu," katanya sambil menyifatkan Uda dan Dara ialah Romeo dan Juliet bagi masyarakat Melayu.
Tanpa kemesraan antara Uda dan Dara, jelas Misha, teater itu tidak akan berjaya mencapai matlamatnya.
Sementara itu, Razali ketika diminta mengulas mengenai aksi itu berkata dia tidak berasa segan kerana cuma memberi fokus kepada watak yang dibawanya.
"Bila perasaan itu hadir (sewaktu pementasan), tak rasalah apa-apa," katanya.
Ditanya adakah dia terbawa-bawa perasaan din atas pentas dengan Misha itu sehingga ke luar lokasi, dia menolak anggapan tersebut.
Jelas Razali, dia sekadar minum di kedai mamak berdekatan Istana Budaya bersama Misha selepas latihan dan tidak lebih dari itu.
Pementasan tersebut berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur dari 10 Julai hingga 20 Julai ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: