Wednesday, July 21, 2010

"Mek Mulong Dewa Muda" Dipentaskan Bermula 30 Julai

Haslinda Mohd Ali memegang watak sebagai Puteri dari kayangan, manakala Mohammad Rizal Mohammad Lazim sebagai Dewa Muda.

KUALA LUMPUR: Kumpulan Seni Petronas(KSPP)sekali lagi akan mementaskan teater tradisional Mek Mulong Dewa Muda selama tiga hari bermula 30 Julai ini di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

Pementasan itu adalah salah satu objektif KSPP memertabatkan kebudayaan tradisional Melayu selain kesinambungan kepada kejayaan Mek Mulung Cahaya Bulan pada tahun 200 dan Mek Mulung Malim Bongsu 2007 lalu.

Menurut penerbitnya, Hartini Abdullah, teater tradisional seperti Mek Mulong adalah salah satu cerita sejarah daripada buku lama yang seharusnya diketahui oleh semua masyarakat terutamanya generasi baru.

"Teater ini merupakan usaha Petronas dalam memelihara seni budaya bangsa. Kita tidak mahu generasi baru lupa dengan cerita-cerita sebegini. Ia harus diteruskan namun disesuaikan dengan keadaan semasa agar mereka tidak bosan.

"Namun kita perlu mengekalkan jalan cerita, watak-watak, pembukaan teater dan dialog-dialog penting seperti yang terdapat dalam bukunya," jelasnya.

Tambahnya lagi, teater yang bakal dipentaskan ini mempunyai keistimewaan tersendiri termasuk elemen-elemen pengajaran yang terdapat pada jalan cerita tersebut.

"Perbezaan dari koleksi cerita lain, Mek Mulong antara koleksi sejarah budaya dari Kedah yang tinggal. Selain mengunakan dialek Kedah sepenuhnya, Mek Mulong mempunyai jalan cerita yang menarik dan tidak membosankan.

"Mek Mulong Dewa Muda ini merupakan salah satu dari enam tajuk daripada koleksi Mek Mulong," jelasnya.

Antara yang terlibat dalam pementasan Mek Mulong Dewa Muda.

Teater tradisional yang berasal dari Kampung Wang Tepus, Jitra, Kedah ini menggabungkan unsur-unsur lakonan, nyanyian, tarian dan muzik dan dipercayai lebih 500 tahun.

Mek Mulong Dewa Muda mengisahkan kembara cinta Dewa Muda dalam menjadikan Puteri Ratna Emas sebagai pasangan hidup. Dewa Muda terpana dengan Puteri walaupun sebelum mereka bertemu di kayangan.

Teater ini bakal dilakonkan seramai 65 artis budaya dan pemuzik KSPP di bawah arahan Roslee Mansor. Manakala A Sam Plala bertindak sebagai koreografer dan Abdul Ghani Mat noor sebagi pengarah muzik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: