Astro kini bakal menerbitkan satu lagi rancangan yang bakal mengangkat industri seni tari iaitu rancangan Mari Menari yang akan memulakan sesi uji bakat pada 31 Julai hingga 1 Ogos ini di Astro Bukit Jalil.
Pasangan yang ingin hadir ke uji bakat ini nanti hendaklah mempunyai pertalian darah seperti pasangan suami isteri, ayah anak, ibu anak, abang adik atau sebaliknya serta berumur 18 tahun ke atas.
Program yang bakal menggantikan slot bagi rancangan hebat Sehati Berdansa yang bersiaran selama 3 musim sebelum ini akan menampilkan kelainan di mana semua peserta adalah dalam kalangan orang biasa dan bukannya selebriti.
“Astro sentiasa akur dengan permintaan pelanggan yang mahukan pengisian lebih segar dan terkini. Kami juga jelas tentang hakikat yang mana selain daripada bidang seni suara dan lakonan, seni tari juga merupakan satu lagi cabang seni yang sering mendapat perhatian ramai,” kata Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi.
Mari Menari mencari 30 pasangan untuk saringan dan 12 pasangan untuk masuk ke pertandingan dan peserta bakal diberikan lagu yang berlainan semasa uji bakat dijalankan.
Peserta Mari Menari yang dijangka akan bersiaran pada Oktober ini tidak semestinya pakar dalam bidang tarian tetapi mempunyai minat dan semangat yang tinggi untuk bersaing dan mencuba nasib. Uji bakat akan berlangsung pada jam 9 pagi hingga 2 petang sahaja dan peserta diminta untuk membawa kad pengenalan berserta dua keping gambar terkini berukuran 4R dan mestilah membawa pakaian yang bersesuaian.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: