Thursday, July 29, 2010

Kontroversi kerusi Ketua Pengarah Finas




ISU mengenainya telah berbangkit pada bulan April lalu semasa Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) menghantar memorandum kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim.

Dalam memorandum tersebut, PFM membantah keras pelantikan dua penerbit filem popular, David Teo dan Ahmad Idham Ahmad Nadzri sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Bukan itu sahaja, peranan serta ketelusan David dan Ahmad Idham sebagai Panel Penilai Dana Perfileman melalui Skim Pinjaman Filem Cereka (SME Bank) dan Dana Industri Kreatif yang ditadbir oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) turut menjadi persoalan.

Bagi PFM, Ahmad Idham dan David yang masih aktif dalam industri perfileman menimbulkan konflik kepentingan diri. Maka, apabila kedua-dua jawatan ahli itu dilanjutkan selama setahun lagi bermula 1 Julai lalu, ia menimbulkan perasaan kurang enak di kalangan ahli-ahli PFM.

Tanpa sebarang maklum balas daripada pihak Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPPK) PFM mengambil langkah sendiri dengan mengadakan sidang media meluahkan ketidakpuasan mereka.

Tidak tahu secara kebetulan atau sudah dirancang, sidang media pada 20 Julai berlangsung pada ketika khabar angin bahawa Ahmad Idham bakal menyandang jawatan Ketua Pengarah Finas baru sedang kuat bergoncang. Isu itu semakin hangat diperkatakan apabila penyandang Ketua Pengarah Finas sekarang, Mohd. Mahyidin Mustakim bakal tamat kontraknya pada 15 Ogos ini.

Jadi persoalan sama ada Ahmad Idham akan menggantikan kedudukan itu dikaitkan bersama dengan jawatannya dalam ahli lembaga Finas. Kemelut itu belum diselesaikan sehingga kini dan Mohd. Mahyidin yang dihubungi Kosmo! enggan mengulas lanjut mengenai kedua-dua perkara itu.

"Perihal jawatan Ketua Pengarah Finas dan Ahli Lembaga Pengarah Finas merupakan dua perkara berbeza. Jadi, jangan kaitkan bersama. Memandangkan saya masih memegang jawatan Ketua Pengarah buat masa ini, adalah tidak sesuai bagi saya untuk membuat sebarang komen.

"Nanti ada orang cakap saya cuba pertahankan jawatan atau sebaliknya. Lebih baik saya tidak berkata apa-apa. Kalau anda tanya pasal isu filem, saya boleh jawab tapi bukan isu ini," kata Mohd. Mahyidin.


PERSOALAN mengenai kemelut yang kini membelenggu Finas yang mengaitkan nama Ahmad Idham dan David Teo masih belum menemui jalan penyelesaiannya.


Hanya boleh mendengar semua komen dan kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua pihak (PFM dan David serta Ahmad Idham), Mohd. Mahyidin bagaimanapun menyatakan gosip mengenai Ahmad Idham bakal menggantikan tempatnya timbul secara kebetulan.

"Sebenarnya khabar angin mengenai jawatan Ketua Pengarah ini disebarkan kerana secara kebetulan tempoh khidmat saya akan tamat pada 15 Ogos ini. Macam biasa, kalau perkhidmatan saya dilanjutkan, saya akan teruskan tanggungjawab saya.

"Seperti yang diketahui ramai, sudah empat tahun saya memegang jawatan ini. Kalau (perkhidmatan) saya tidak dilanjutkan, maka orang lain akan dipilih menggantikan saya," tambahnya lagi.

Buat masa ini menurut Mohd. Mahyidin, adalah lebih untuk menunggu keputusan daripada pihak KPPK. "Sehingga hari ini (26 Julai) saya belum menerima sebarang keputusan daripada kementerian. Mungkin dalam masa seminggu dua lagi kita akan mengetahui jawapannya. Kita tunggu sahaja."

Bukan serangan peribadi

Berkali-kali menafikan bahawa sidang media yang dilakukan tempoh hari bukan untuk menjatuhkan atau memusnahkan mana-mana pihak, Presiden PFM, Ahmad Puad Onah dalam kenyataannya memberitahu dia dan pihak PFM menghormati keputusan kementerian.

Cuma bagi PFM, selama tempoh penjawatan Ahmad Idham (sejak 1 Julai 2009) dan David (sejak 1 Julai 2008), banyak persoalan dan masalah yang timbul melibatkan masa depan industri perfileman tempatan. Malah, dalam akta Finas sudah ditetapkan bahawa setiap ahli lembaga tidak boleh aktif membikin filem.

Dengan erti kata lain, mereka yang memegang jawatan itu perlu melepaskan semua jawatan dalam syarikat milik masing-masing. Namun, Ahmad Puad Onah tahu pemilihan Ketua Pengarah Finas adalah kuasa mutlak Menteri KPPK.

"Pelantikan Ketua Pengarah Finas merupakan kuasa mutlak Menteri KPPK dan kami di PFM sentiasa menyokong jawatan itu diberikan kepada tenaga profesional yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam industri.

"Jika benar Ahmad Idham akan dilantik sebagai Ketua Pengarah, pihak PFM akan menyokong," kata Ahmad Puad Onah dalam kenyataan akhbarnya.

Namun, sokongan yang diberikan oleh PFM itu ada syaratnya. Ahmad Idham perlu melupuskan segala syer pegangan dalam syarikatnya, Excellent Pictures Sdn. Bhd. atau mana-mana syarikat yang berkaitan dengannya.


AHMAD PUAD (dua dari kiri) bersama (dari kiri), Setiausaha PFM, Norman Abdul Halim, Timbalan Presiden Gabungan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) Datuk M. Daud Wahid dan Timbalan Presiden PFM, Datuk Paduka Shuhaimi Baba pada sidang media memorandum kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim baru-baru ini.


"PFM mahu Ahmad Idham menumpukan perhatian kepada tugas sebagai seorang Ketua Pengarah (sekiranya dilantik) dan berhenti daripada segala kerja penerbitan mahupun pengarahan. Kami juga berharap Ahmad Idham dapat memberikan perhatian sama rata kepada semua penggiat industri perfileman tanpa dipengaruhi," jelasnya lagi.

Bukan bersifat cemburu, Ahmad Puad Onah mewakili suara PFM juga berpendapat David dengan jelas melobi jawatan tersebut buat Ahmad Idham. "Sebagai ahli lembaga Finas, tindakan David melobi secara terbuka di depan media adalah satu tindakan tidak beretika.

"Ia menimbulkan prejudis dan persepsi negatif terhadap calon-calon lain. Dia (David) sepatutnya bersifat neutral kerana Ahmad Idham mempunyai pertalian dengan syarikatnya, Metrowealth Movies Production Sdn Bhd. Tindakan dia dilihat berbaur kepentingan sendiri," ujar Ahmad Puad Onah.

Terima keputusan Menteri

Meneruskan tanggungjawab dalam pentadbiran Finas untuk penggal kedua, Ahmad Idham yang pernah menafikan khabar angin bahawa dirinya akan dilantik sebagai Ketua Pengarah Finas memberitahu keputusan tidak terletak di tangannya.

"Lanjutan jawatan sebagai ahli lembaga dibuat bukan disebabkan saya melobi tetapi pihak kementerian yang dapat melihat kelayakan saya. Bukannya saya berkata saya hendak menjadi ahli lembaga atau Ketua Pengarah saya akan dapat. Itu semua hak mutlak KPPK," kata Ahmad Idham ketika dihubungi Kosmo!.

Menyatakan khabar angin pelantikan dirinya sebagai satu desas-desus, Ahmad Idham tidak mahu cepat melatah kerana semua yang disebarkan itu adalah gosip. "Isu mengenai Ketua Pengarah itu adalah tidak benar. Tapi jika saya dilantik nanti, saya tahu tanggungjawab dan amanah saya."


PERTENTANGAN dua penjuru. (Dari kiri), Ahmad Idham, Norman dan Shuhaimi kini dalam satu majlis anjuran Finas.


Bagi David pula, dia sebelum ini dikatakan sudah mengetahui perancangan mengenai pemilihan Ahmad Idham sebagai Ketua Pengarah Finas baru. Itu yang menimbulkan lebih banyak salah faham di antara kedua-dua pihak apabila David 'dituduh' mahu mengangkat Ahmad Idham untuk menjawat kedudukan itu bagi kepentingan diri.

Namun, David menyatakan: "Siapa Ketua Pengarah Finas yang baru bagi saya bukan satu isu kerana keputusan itu berada di tangan kementerian. Apa yang saya tahu, seorang Ketua Pengarah perlu memiliki daya kepimpinan yang tinggi.

"Dia perlu seorang yang jujur dan telus serta tidak pilih kasih. Calon itu perlu tahu selok-belok industri perfileman serta tidak mempunyai kepentingan diri dalam apa-apa cabang yang berkaitan dengan filem."

Ditanya mengenai khabar angin mengenai pelantikan Ahmad Idham sebagai Ketua Pengarah baru, David mempunyai pandangan tersendiri.

"Ada kelebihan dan kekurangannya jika Ahmad Idham dipilih untuk jawatan tersebut. Dari segi kelebihan, dia seorang yang berpengalaman dalam industri.

"Kekurangannya pula, dia seorang pengarah yang berkaliber. Jadi jika dia melepaskan tugasan sebagai pengarah, industri akan kekurangan filem yang mampu menjana keuntungan. Itu semua bergantung sama ada dia sanggup berkorban atau tidak."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: