Sunday, July 4, 2010

Kembara Amal Tahunan Malakoff Kumpul RM137,500

Malakoff menyampaikan sumbangan bernilai lebih RM137,000 kepada sembilan rumah kebajikan selesai Kembara Amal Tahunan Malakoff baru-baru ini.

MALAKOFF Corporation Berhad (Malakoff) berjaya mengumpulkan RM137,500 menerusi Kembara Amal Tahunan 2010 yang disertai 111 penunggang basikal melibatkan kembara sejauh 530 kilometer meliputi Kota Baru-Kuala Terengganu-Tanah Merah-Kota Baru baru-baru ini.

Dianjurkan buat kali kelima tahun ini, kembara bertema ‘Beramal melalui Sukan’ itu dianjurkan dengan sokongan kewangan daripada rakan kongsi perniagaannya termasuk penaja terbesar, Rangkai Positif Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan DRB-Hicom yang juga kontraktor operasi dan penyelenggaraan Stesen Jana Kuasa Tanjung Bin milik Malakoff.

Syarikat lain termasuk Allianz General Insurance, CIMB Group, Sterling Insurance Brokers, Alstom Power, Bank Rakyat, Gas Malaysia, Global E-Technic, GP Mech Engineering dan Ranhill Powerton.

Kesemua dana yang berjaya dikumpulkan itu akan disumbangkan kepada Persatuan Autism Kebangsaan (Nasom), Pusat Rawatan Dialisis Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF), Madrasah Tahfiz Darul Islah, Baitul Taubah, Pusat Jagaan Harian Warga Emas Kemumin, Majlis Pemulihan Negeri Kelantan, Persatuan Sindrom Down Terengganu, Pusat Rawatan Dialisis Islah dan Pusat Tahfiz Ribath Pulau Manis.

Ketua Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi Malakoff, Yusop Rashid berkata, sejak dimulakan lima tahun lalu sumbangan daripada rakan-rakan kongsi perniagaan turut meningkat daripada RM47,900 pada 2006 kepada RM73,880 tahun lalu dengan koleksi tertinggi sebanyak RM137,500 tahun ini.

Lebih 100 peserta berkumpul sebelum memulakan perjalanan tiga hari menunggang basikal untuk kebajikan.

Sehingga kini, katanya, sejumlah RM366,780 telah disumbangkan kepada 36 buah pusat rawatan, rumah perlindungan, sekolah dan rumah anak-anak yakim seluruh negara termasuk Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis, Selangor dan Terengganu.Menurut Yusop, Kembara Amal Tahunan Malakoff mengeratkan lagi hubungan kakitangan dan rakan kongsi dari pelbagai latar belakang menerusi acara sukan mencabar selama tiga hari dan meluangkan masa bersama golongan kurang bernasib baik.

“Aktiviti ini merupakan sebahagian Perkongsian Komuniti Malakoff yang percaya bahawa pertalian persahabatan mampu wujud di sepanjang perjalanan kembara amal ini.

“Justeru, kami mengambil tiga pendekatan untuk melaksanakan aktiviti amal iaitu menerusi aktiviti sukan komuniti, pendidikan dan memulihara alam sekitar,” katanya.

MCB merupakan pengeluar kuasa dan air bebas terbesar negara dengan kapasiti penghasilan sebanyak 5,020 MW daripada enam stesen janakuasa dengan fokus utama terhadap penjanaan kuasa, penyahmasinan air dan perkhidmatan operasi serta penyelenggaraan.

Bercakap selepas sesi taklimat untuk penunggang, Pengarah Urusan Algotech (M) Sdn Bhd, Ir. Jack Tan berkata, kepuasan menyertai aktiviti tersebut bukan sekadar kemeriahan menunggang beramai-ramai malah kemampuan membantu mengumpul derma untuk rumah kebajikan memerlukan.

“Kami sangat gembira dapat menyertai aktiviti ini. Di samping menempuhi laluan mencabar dengan sekumpulan rakan-rakan, kami juga dapat menikmati pemandangan indah sepanjang perjalanan melalui kawasan luar bandar itu nanti,” tambah penunggang berusia 54 tahun itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: