Saturday, July 17, 2010

Kem motivasi piawaian antarabangsa

Seri Dinar di Janda Baik, Bentong, Pahang menawarkan kemudahan, modul-modul program dan jurulatih berpengalaman untuk mereka yang menyertai latihan bina dirinya.




HANYA 45 minit perjalanan dengan kereta, suasana sesak dan sibuk di Kuala Lumpur bertukar kepada suasana nyaman, redup dan segar tatkala singgah di sebuah kawasan pencil di daerah Bentong, Pahang.

Kampung Janda Baik yang terletak di sempadan negeri Pahang dan Selangor merupakan sebuah kawasan perkampungan kecil yang didiami oleh hampir 1,000 penduduk. Namun, persekitarannya yang masih terpelihara dengan muka bumi yang bergunung-ganang, tidak hairanlah jika warga kota ingin berkongsi rasa bersama penduduk di situ.

Aktiviti perkelahan dan kem motivasi antara yang boleh dilakukan di kawasan banjaran Titiwangsa itu. Lokasinya yang strategik dan berdekatan dengan ibu kota selain keadaan sekeliling yang tenang sesuai untuk melakukan aktiviti menenangkan jiwa dan bermuhasabah diri.


YOUNG ACHIVERS program yang sesuai untuk remaja. - Gambar hiasan


Jika disebut kem bina semangat, kem motivasi, mahupun kem waja diri dan sebagainya pasti tergambar di fikiran sebuah kawasan yang dikelilingi hutan dan tempat penginapan yang ringkas serta lapangan aktiviti ketahanan fizikal.

Dibuka sejak September 2001, Seri Dinar Training Retreat Services Sdn. Bhd. (Seri Dinar), memulakan langkah memajukan industri pusat latihan motivasi dengan menyuntik imej yang lebih eksklusif dan mempunyai kedudukan tersendiri dalam industri itu.

Meletakkan satu kualiti dalam penyediaan kemudahan dan modul-modul program serta staf jurulatih, pusat latihan motivasi yang diuruskan oleh Seri Dinar Holdings Sdn. Bhd. merupakan sebuah syarikat milik bumiputera. Ia nyata berbeza berbanding pusat latihan yang lain.

Fokus yang strategik disuntik kepada pusat latihan itu. Kelihatan seperti sebuah resort kelas pertengahan yang terletak di dalam sebuah kawasan rimba, Seri Dinar nyata komited untuk memberikan fokus sepenuhnya kepada fungsinya sebagai pusat bina diri.


AFNAN HADRI (kanan) memberi taklimat keselamatan kepada peserta.


Piawaian dunia

Tidak dibuka untuk tujuan penginapan biasa dan sewaan percutian, Seri Dinar juga turut tidak membenarkan peserta membawa ahli keluarga masing-masing sepanjang sesi latihan kerana ia akan mengganggu fokus aktiviti. Individu asing juga dilarang memasuki tapak latihan itu.

"Kami ingin memberikan ruang agar mereka dapat memberi sepenuh perhatian kepada aktiviti latihan tanpa sebarang gangguan. Bukan latihan ala ketenteraan tetapi tumpuan sepenuhnya perlu diberikan agar matlamat latihan tercapai," ujar Pengurus Pembangunan Perniagaan Seri Dinar, Redza Imran Abdul Rahim.

Dengan kemudahan latihan fizikal yang mengikut piawaian antarabangsa, Seri Dinar menyediakan kemudahan latihan bercirikan keselamatan yang mengikut piawaian dunia.


PESERTA merentasi halangan V-bridges yang dibina mengikut piawaian antarabangsa.


Simulasi-simulasi seperti flying fox, memanjat tembok, abseiling, V-bridges dan air walk antara yang terdapat di sini. Kualitinya sentiasa dijaga apabila pihak pengurusan turut melakukan proses baik pulih setiap minggu.

Pusat latihan yang berkeluasan empat hektar itu menyediakan kemudahan penginapan bagi menampung tiga kumpulan peserta pada satu-satu masa. Ia terdiri daripada bilik-bilik executive suite, standard suite dan standard calet yang kesemuanya adalah sebanyak 26 unit.

Apakah yang membezakan Seri Dinar dengan pusat latihan yang lain?


REDZA IMRAN (tiga dari kiri) bersama barisan jurulatih profesional Seri Dinar.





Norillah Ibrahim Khan yang bertindak sebagai Pengarah Eksekutif menjelaskan, terdapat pelbagai modul yang boleh dipilih mengikut tahap dan potensi diri setiap peserta serta syarikat yang melakukan aktiviti di situ.


SUASANA nyaman dan selesa dijanjikan di sekitar kawasan Seri Dinar.


"Program yang paling ringkas adalah The 'A' Team yang menggabungkan aktiviti di dalam dan di luar. Ia sesuai untuk kumpulan yang ingin mengenali potensi diri dalam aspek komunikasi, kepimpinan, kerjasama, pemikiran kreatif dan pengorbanan.

Program eksklusif lain yang dirancang sendiri oleh Seri Dinar adalah The 'A' Team Plus, The 'A' Team Safari, Walking The Talk, Living the Brand, Customer Delight, Induction into Work Life, Young Achievers' Programme dan The Human Potential Programme.


KEADAAN simulasi fizikal yang diintegrasikan dengan tempat penginapan memberikan kemudahan dan keselesaan kepada peserta kem.


Penilaian potensi

Beliau yang juga pakar psikologi industri di Seri Dinar menjelaskan, setiap individu akan menerima keputusan penilaian potensi pada akhir program.


KEMUDAHAN yang terdapat di D'Club untuk peserta kem melakukan aktiviti santai.


"Sepanjang program latihan, jurulatih akan menilai setiap peserta. Maklumat-maklumat tersebut akan dianalisis menggunakan perisian komputer," ujar wanita yang memiliki Sarjana dalam Psikologi Industri. Beliau mempunyai pengalaman selama 35 tahun dalam bidang itu.

Pada tawaran harga bermula dari RM450 termasuk penginapan dan modul latihan selama tiga hari dua malam, peserta bebas memilih untuk melaksanakan program dengan modul sendiri atau memilih modul-modul yang disediakan oleh Seri Dinar.

Sementara itu, jurulatih profesional Seri Dinar, Afnan Hadri Ab. Manaf, 25, yang berkhidmat sejak dua tahun lalu bertanggungjawab membangunkan industri kem latihan.


KEMUDAHAN penginapan yang selesa.


"Peserta kami kebanyakannya terdiri daripada pekerja-pekerja syarikat korporat yang selalunya dalam lingkungan 40-an ke atas. Pendekatan yang sesuai perlu diambil kira tatkala ingin melakukan aktiviti fizikal agar keselamatan mereka terjamin," kata bekas pelajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang Kejuruteraan Automotif itu.

Para peserta akan diberikan taklimat awal secara berkumpulan dan dipecahkan kepada beberapa kumpulan kecil. Mereka kemudiannya diberi penerangan keselamatan dengan lebih terperinci.

Seri Dinar juga mempunyai 12 orang jurulatih iaitu lapan orang jurulatih tetap yang mendapat latihan daripada kepakaran tempatan dan antarabangsa, manakala empat yang lain adalah jurulatih sambilan.

Dengan nisbah satu jurulatih kepada sepuluh peserta, Seri Dinar menyediakan tenaga pakar bagi menjamin kualitinya. Tidak hairanlah jika pusat latihan itu mendapat tempat di kalangan syarikat-syarikat korporat tempatan mahupun antarabangsa.


PESERTA latihan kebanyakannya terdiri daripada pekerja-pekerja syarikat korporat.


Kampung Janda Baik mempunyai potensi menjadi hab kem motivasi bertaraf dunia kerana kedudukannya yang hampir dengan ibu kota.

Kekayaan khazanah alam semula jadinya yang masih terpelihara mampu mengangkat lokasi itu sebagai pilihan warga kota untuk mengenal diri sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: