Friday, July 9, 2010

Kapal dagang terbakar


KAPAL MV Charlotte Maersk terbakar di perairan Pelabuhan Klang semalam.


KLANG - Sebuah kapal dagang dengan muatan lebih 1,000 kontena yang dalam pelayaran menuju ke Oman dari Pelabuhan Klang terbakar kira-kira 60 batu nautika dari perairan Pelabuhan Klang di sini malam kelmarin.

Bagaimanapun kesemua 21 anak kapal MV Charlotte Maersk itu terselamat dalam kebakaran yang dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Maritim Selatan pada pukul 10.10 malam.

Kebakaran dipercayai bermula di bahagian depan kapal sebelum merebak hampir ke bahagian tengah namun hanya puluhan kontena terbakar manakala badan kapal sepanjang 347 meter dan lebar 46 meter itu masih selamat.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Klang, Kapten Maritim Mohd. Amir Hamzah berkata, sebuah Kapal Maritim (KM) Danga dan sebuah bot laju bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan dari Jabatan Laut daerah berhubung kebakaran kapal tersebut.

Menurutnya, ketika pasukan penyelamat dalam perjalanan menuju ke lokasi, pihaknya dihubungi oleh kapten kapal berkenaan melaporkan kebakaran tersebut dapat dikawal dan tidak memerlukan bantuan serta mahu meneruskan pelayaran kira-kira pukul 11.40 malam.

"Namun kedua-dua aset dari pangkalan Daerah Maritim 4 Pelabuhan Klang tetap terus ditugaskan untuk membuat tinjauan dan memberi bantuan ke atas kapal tersebut sekiranya diperlukan.

"Setiba di lokasi pada pukul 4 pagi semalam, bahagian atas kapal tersebut didapati masih terbakar dan usaha memadamkan api dilihat terus dilakukan oleh anak-anak kapal tersebut," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabatnya di sini semalam.

Tambahnya, kira-kira pukul 2 petang, api telah tidak kelihatan lagi di atas kapal tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: