Monday, July 19, 2010

Jelajah Rally IMalaysia


SEBAGAI permulaan Rally 1Malaysia akan digerakkan ke negeri-negeri Pantai Barat.


STADIUM Putra Bukit Jalil baru-baru ini meriah dengan kehadiran lebih 15,000 belia daripada pelbagai latar belakang agama, kaum dan keturunan.

Pada waktu itu, semangat patriotisme terhadap tanah air tercinta terasa begitu menusuk ke hati apabila ribuan belia termasuk para pemimpin negara bersatu menyanyikan lagu Negaraku dan lagu 1Malaysia.

Usai saja nyanyian, laungan 1Malaysia bergema hinggakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak teruja dengan sentimen belia di negara ini yang mewakili 70 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia.

Sesungguhnya kata Najib, kehadiran mereka merupakan cerminan kepada sokongan golongan itu terhadap aspirasi yang dibawa menerusi Gagasan 1Malaysia.

Bagaimanapun, untuk membina lagi keyakinan terhadap gagasan yang diinspirasikan oleh pemimpin nombor satu negara itu, Pemuda Barisan Nasional (BN) menggerakkan satu inisiatif yang dikira mampu untuk memperkasakan lagi pengertian terhadap gagasan itu.

Justeru, Jelajah One Malaysia (JOM) melalui program Rally 1Malaysia dilancarkan dengan matlamat untuk mendapat maklum balas orang ramai khususnya golongan belia mengenai pelaksanaan gagasan itu sejak diperkenalkan tahun lalu.

Gagasan 1Malaysia mula dilaungkan seawal Najib memegang tampuk pemerintahan negara pada tahun lain.

Gagasan itu antara lain bertujuan membudayakan rakyat Malaysia agar bersikap menerima seadanya keunikan pelbagai di negara ini dan hidup saling menghormati.

Selain itu, ia menjadi nafas baru kepada perpaduan nasional, makna 1Malaysia yang sebenar, peranan perkhidmatan awam, media massa, sektor swasta, organisasi korporat dan peranan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin masyarakat.

Aktiviti di sebalik program itu dianggap sangat unik.

Bertemakan 1Misi, 1Hati, 1Pemuda, 1Malaysia, JOM digerakkan menerusi sebuah bas khas. Kenderaan itu bakal membawa barisan kepimpinan Pergerakan Pemuda BN untuk mendekati komuniti belia ke seluruh pelosok negara.

Ketika berucap di hadapan para belia yang terdiri daripada pelajar-pelajar universiti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Najib dengan penuh semangat berkata : "Bas yang membawa kepimpinan Pemuda BN adalah satu simbolik harapan masa depan negara yang terletak kepada tenaga golongan pemuda.


GAGASAN 1Malaysia mahu membudayakan rakyat Malaysia agar hidup saling menghormati antara satu sama lain.


"Kita ibarat sebuah pasukan bola, tidak kira siapa penyerang, penjaga gol atau pertahanan, apa yang penting adalah kejayaan pasukan 1Malaysia."

Sementara itu, orang kuat di sebalik program Rally 1Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata, mereka akan menjelajah ke seluruh negara termasuk di kawasan pendalaman secara berterusan bagi memperkenalkan konsep 1Malaysia.

Dengan penuh keterujaan, Khairy yang menepis tanggapan kononnya program itu berbaur politik berkata, mereka akan membantu kerajaan menyampaikan mesej murni kepada generasi muda.

Menerusi pendekatan yang lebih mesra rakyat dan bertaut di hati masyarakat.

"Semasa jelajah dengan bas itu nanti, kita akan turun padang dan mengajak golongan belia di setiap kawasan parlimen untuk sama dengan kita menyertai pelbagai aktiviti yang boleh mengeratkan silaturahim.

"Antaranya ialah kita akan bersama-sama membaik pulih rumah orang-orang miskin dan ibu-ibu tunggal, bermain futsal, melakukan aktiviti kesenian dan kebudayaan bersama-sama, gotong-royong dan lain-lain lagi," kata Khairy kepada Kosmo!.

Sebagai permulaan, rombongan Rally 1Malaysia akan digerakkan ke negeri-negeri di pantai barat Malaysia dalam masa terdekat ini disusuli dengan lain-lain negeri. Dalam tempoh setahun, sambutan dan keberkesanannya akan dinilai.

Jika menerima reaksi positif daripada masyarakat, tidak mustahil kata Khairy, program itu akan diteruskan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: