Friday, July 9, 2010
Jaga hati pasangan
Jika diselak satu persatu diari industri hiburan tanah air kini, tentu mata dapat melihat isu kes cerai pasti mengungguli kisah seni beberapa artis. Walaupun ditakrifkan ‘sudah ditakdirkan’ atau ‘Kuasa Allah SWT’ namun pastinya tiada keharmonian rumah tangga menjadi punca ikatan perkahwinan tidak dapat diselamatkan.
Namun, lain pula dengan Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-20 ini yang bersyukur kerana telah bersama hampir sedekad berkahwin tanpa perselisihan faham yang berpanjangan.
Bagi Vanidah Imran atau Vee dan pasangannya Rashidi Ishak atau Shidee, dalam melayari bahtera rumah tangga, pastinya ada kala tergigit lidah namun mereka cepat memaafkan dan berbincang bersama.
Malah, menurut Vee sikap saling bertolak ansur adalah kunci keharmonian rumah tangga.
“Di dalam sebuah perkahwinan tiada istilah bosan melihat pasangan kita kerana kita perlu menganggap pasangan kita sebagai teman karib yang boleh berkongsi suka duka bersama,” katanya yang ditemui sebaik tamat pelancaran drama Isabella baru-baru ini.
Ketika diaju pertanyaan mengenai kisah perceraian artis yang kerap dipaparkan, Vee mengaku kadang kala khuatir akan melalui pengalaman sama dan berdoa jodohnya dan Shidee berkekalan hingga ke akhir hayat.
“Ramai yang tanya Vee, Vee tidak rasa risau ke bila enam pasangan Sehati Berdansa telah bercerai, ada yang kata badilah tetapi bagi Vee ia bukan salah sesebuah rancangan tapi mungkin takdir perkahwinan mereka tidak berpanjangan.
“Vee akui tiada rahsia melayari perkahwinan yang bahagia tetapi apa yang kami lakukan untuk memastikan rumah tangga kami sentiasa harmoni adalah melakukan aktiviti bersama, sentiasa duduk berbincang, bertolak ansur dan yang penting memaafkan pasagan kita.
“Bagi Vee dan Shidee sendiri kami enjoy melakukan aktiviti bersama walaupun Shidee tidak suka dan tidak pandai menari tetapi Shidee masuk juga pertandingan itu kerana Vee suka menari, jadi di situ kami sudah bertolak ansur,” katanya.
Ditanya mengenai penerimaan Shidee jika Vee perlu berlakon watak wanita yang sedang bercinta, Vee mengakui Shidee begitu memahami dan tidak cemburu kerana ia cuma tuntutan watak di dalam layar.
“Shidee tidak pernah meletakkan apa-apa syarat jika Vee perlu membawa watak wanita yang sedang bercinta tetapi Vee sendiri yang memastikan tidak keterlaluan melakonkan watak itu demi menjaga maruah suami dan juga anak-anak.
“Tetapi, Vee bersyukur kerana dikurniakan suami dan anak-anak yang begitu sporting dan memahami karier Vee,” katanya yang begitu selektif memilih watak agar dapat membahagikan masa sebaiknya bersama keluarga tercinta.
Anak lelaki tunjuk bakat
Hasil perkahwinan Vee dan Shidee yang genap 10 tahun, tahun ini mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mikhail Aimran, 9, dan Maryam Rashika, 6.
Bercerita mengenai dua anak yang semakin membesar itu Vee mengakui kedua anaknya tidak sukar dijaga, malah Vee dan Shidee tidak menghalang anak mereka untuk menjadi artis seperti mereka.
Malah, anak sulung Vee, Mikhail menunjukkan minat di dalam dunia lakonan setelah dihadiahkan sebuah kamera digital baru-baru ini.
“Kami menghadiahkan Mikhail sebuah kamera digital bagi memudahkan dia mengambil foto atau apa sahaja yang ingin dirakamkan.
“Apa yang mengejutkan kami, Mikhail merekodkan video mengenai pengembaraan Star Trek dari mula hingga habis dan siap ada lagu akhir sekali.
“Kemudian Mikhail meminta Shidee untuk masukkan di dalam Youtube hasil kerjanya itu dan kami tidak menghalang jika satu hari nanti dia berminat untuk menjadi pengarah atau pelakon dan kami sentiasa menyokong apa yang ingin dilakukan,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: