MEREKA berdua popular dalam bidang masing-masing. Namun, Nabil Ahmad dan Jaclyn Victor (Jac) tidak pernah beraksi di atas pentas teater. Maka, apabila Nabil dan Jac dipilih untuk menerajui Cuci The Musical edisi kedua, mereka berdua menyifatkan itu satu rezeki yang tidak boleh ditolak.
Mahu mencuba dan meneroka perkara baru dalam karier mereka, Nabil dan Jac akui tarikh pementasan pada 27 Julai yang semakin dekat mendebarkan mereka. Apa pun, tanggungjawab mereka amat berat terutama selepas kejayaan siri pertamanya tahun lalu.
Tekanan lebih dirasai apabila mereka menggantikan pelakon lain yang sudah berpengalaman dalam bidang teater. Nabil mengambil alih tempat AC Mizal dengan peranan C'Tan. Jac pula memainkan watak Jessy yang sebelum ini dipegang oleh Adibah Noor (tetapi dikenali sebagai Farah).
Bertemu mereka berdua pada sidang media kedua muzikal itu, Nabil dan Jac nampak yakin. Sedang menjalani latihan dari pukul 2 petang sehingga 11 malam setiap hari kecuali Isnin sejak tiga minggu lalu, Nabil menyuarakan perasaannya.
"Memang sekarang saya amat gementar. Saya sebenarnya tidak pernah berasa begitu gementar. Rasanya seperti semasa saya menyertai pertandingan Raja Lawak pada minggu pertama dan kedua," jelas Nabil.
Memandangkan dia lebih muda berbanding tiga pelakon lain, Hans Isaac (Khai), Awie (Jojo) dan Adflin Shauki (Fairil) yang juga pernah terlibat dalam siri pertamanya, Nabil cuba sedaya upaya untuk 'menyesuaikan' diri dalam kelompok mereka.
"Saya cuba sedaya upaya untuk memasuki kumpulan mereka tetapi pementasan sebenarnya adalah mengenai kerjasama sepasukan. Semua pelakon termasuk penari latar banyak memberikan tunjuk ajar.
"Jadi bukan sukar sebenarnya untuk bekerjasama dengan mereka. Tidak susah untuk lepas bersama mereka kerana mereka semua tidak kedekut untuk berkongsi," tambah Nabil.
Diarahkan oleh Harith Iskander yang turut membawakan watak Wira serta Datuk Zahim Al-Bakri, kedua-dua pengarah itu telah memikirkan kelainan supaya Nabil tidak dibayangi oleh C'Tan yang dijayakan oleh AC Mizal.
Disebabkan Nabil merupakan aktor termuda di kalangan mereka, berempat, maka, wataknya ditukar sebagai adik bongsu. "Dulu AC Mizal pegang watak sebagai abang. Sekarang saya pula jadi adik. Jadi, emosinya amat berbeza.
|
|
"Memang saya tahu saya akan dibandingkan tetapi itu adalah benda normal. Tapi, perbandingan itu satu perkara yang sihat. Apa yang perlu saya buat adalah menjadi diri sendiri dan memberikan yang terbaik buat penonton," ujarnya lagi.
Menyaksikan sendiri tiga kali semasa siri pertamanya dipentaskan di Istana Budaya (IB) tahun lalu, Nabil mengaku dirinya pernah berangan untuk beraksi sama. Namun, melihat keakraban AC Mizal, Hans, Awie dan Adflin, dia sedar ia sedikit mustahil.
Panggilan telefon Hans yang memanggilnya untuk sesi uji bakat mengubah segalanya. Maka, Nabil yang kurang mahir dalam bidang nyanyian berlatih bersungguh-sungguh supaya tidak mengecewakan mereka yang menaruh harapan.
"Nyanyian pada saya adalah benda paling sukar kerana ia merupakan sesuatu yang baru dalam bidang karier saya. Selain daripada itu, watak C'Tan amat dramatik. Jadi walaupun hanya bercakap, lontaran kata-kata itu perlu jelas dan kuat. Itu yang perlu saya ingati selalu.
"Bukan itu sahaja, saya juga berdepan dengan masalah untuk menunjukkan mimik muka serius. Muka saya nampak seperti sedang senyum," jelasnya lagi.
Komitmen yang diberikan oleh Nabil juga dipuji Hans. Katanya, dia terkejut melihat Nabil begitu komited. Bagi Nabil, dia tidak menganggap ia satu benda yang terpaksa dilakukan.
"Kita seperti bermain dalam kerja kerana dengan cara ini, kita akan mendapatkan yang terbaik untuk satu-satu babak. Teater bagi saya adalah sesuatu yang menggembirakan. Saya pergi berlatih setiap hari bukan kerana terpaksa tetapi kerana terlalu menyukainya. Dalam tiga minggu ini, banyak benda yang saya pelajari," tuturnya.
Jac lebih dramatik
Berlainan dengan Nabil, Jac bagaimanapun belum pernah menyaksikan Cuci The Musical. Namun, Hans tidak membenarkan Jac untuk menyaksikan video muzikal tersebut kerana tidak mahu dia terikut-ikut dengan lakonan Adibah Noor.
"Saya masih memainkan watak sebagai pembantu CJ (Vanidah Imran) dan menyukai Awie. Tapi perwatakan saya sedikit berbeza dari Adibah. Watak saya mempunyai masalah bipolar dan lebih dramatik.
"Kami juga digalakkan untuk menambah skrip sendiri yang lebih bersesuaian. Jadi dengan ini, saya harap apa yang disampaikan akan berbeza dengan yang pertama," jelas Jac yang akan menyampaikan tiga buah lagu dalam pementasan itu termasuk Pasti Ada Cahaya dan Apakah Ini Cinta.
Walaupun Jac boleh membayangkan babak muzikal itu semasa membaca skripnya, dia sedar keadaan akan berubah apabila dia berada di atas pentas. Maka, dia berharap untuk berlatih di IB dengan segera.
"Tidak seperti pelakon lain, saya belum pernah beraksi di atas pentas IB. Jadi saya tahu keadaan akan berubah di atas pentas. Nyanyian tidak menjadi masalah buat saya cuma apabila bercakap nanti, saya perlu lebih berhati-hati," tambahnya.
Namanya, ditukar kepada Jessy semasa proses membaca skrip bagi menyesuaikan dengan dirinya. Memberitahu dirinya amat kekok semasa berlatih dengan Awie pada permulaan, Jac bagaimanapun mula selesa apabila mendapati Awie seorang yang kelakar.
Turut komited sepenuhnya sepanjang latihan tanpa menerima sebarang persembahan luar, Jac tahu dirinya akan dibandingkan dengan Adibah tidak kira betapa bezanya watak atau lakonannya.
"Walaupun watak dan lakonan saya berbeza daripada Adibah, saya yakin 200 peratus orang membandingkan kami. Jadi saya perlu berikan yang terbaik dan buktikan kelainan," jelas Jac lagi.
Cuci The Musical mengisahkan tentang empat adik-beradikk Fairil, Khai, Jojo dan C'Tan yang menjalankan syarikat perkhidmatan mencuci tingkat, Cuci-Cuci Services. Impian mereka untuk berkhidmat kepada Menara Berkembar Petronas menjadi realiti apabila dijemput untuk memasuki pertandingan mencuci tingkap Olimpik, Window Washing Olympics (WWO).
Adakah mereka berjaya memenangi pertandingan itu? Saksikan pementasan Cuci The Musical bermula 27 Julai ini sehingga 9 Ogos di Istana Budaya. Tiket dijual pada harga RM33, RM53, RM83, RM123, RM163 dan RM193. Untuk keterangan lanjut, sila hubungi talian 019-256 7000 atau 03-4149 8609 atau layari laman web www.ticket2u.biz.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: