TEL AVIV - Israel cuba menghalang satu kontrak pertahanan besar-besaran antara Amerika Syarikat (AS) dengan Arab Saudi daripada dimeterai, kata sumber kanan pertahanan seperti yang dilapor akhbar Haaretz semalam.
Kontrak pertahanan itu turut termasuk pembelian berpuluh-puluh pesawat pejuang F-15 baru dan menaikkan taraf 150 F-15 yang digunakan oleh Tentera Udara Arab Saudi.
Sumber berkenaan berkata, Israel menyuarakan bantahan kepada AS sejak sebulan lalu dengan isu tersebut akan diketengahkan sekali lagi oleh Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu pada satu pertemuan di Washington.
Dua minggu lalu, Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak telah membangkitkan mengenai perjanjian pembelian senjata tersebut semasa beliau bertemu dengan Setiausaha Pertahanan AS, Robert Gates dan Penasihat Keselamatan Negara, Jeneral Jim Jones di Washington.
Isu sama turut dibincangkan pada pertemuan antara pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah dengan Presiden AS, Barack Obama pada minggu lalu.
Sumber sama memberitahu akhbar Haaretz bahawa AS berminat untuk meningkatkan kemampuan tentera udara Arab Saudi untuk menghalang kebangkitan seteru Washington, Iran.
Israel, bagaimanapun, berharap sekiranya kontrak pembelian senjata itu masih diteruskan, Arab Saudi akan menerima bilangan jet F-15 versi tercanggih kurang berbanding yang dimiliki Israel.
"Hari ini jet-jet tersebut digunakan ke atas Iran, siapa tahu, esok ia mungkin digunakan bagi memerangi kami," kata sumber itu.
Isu penguasaan keupayaan tentera Israel berbanding negara-negara Arab lain itu dibincangkan dalam beberapa pertemuan antara AS dengan rejim Zionis sejak 18 bulan lalu.
Kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak mengejutkan satu sama lain dengan mengadakan perjanjian ketenteraan dengan pihak ketiga.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: