Thursday, July 8, 2010

ISABELLA Penuh Risiko

Bukan mudah menjalankan penggambaran di luar negara. Faktor cuaca, kos perbelanjaan, permit dan sebagainya kadang kala mematahkan semangat produser meneruskan niat dan hanya sekadar berpuas hati dengan lokasi penggambaran di Malaysia yang tidak kurang cantiknya.

Namun bagi aktor hebat, Rosyam Nor, semua itu bukanlah halangan baginya, malah risiko itulah yang mendatangkan semangat dan pengalaman yang tak mungkin dapat digantikan dengan wang ringgit. Menjalankan penggambaran drama Isabella selama lima hari di Kota London dan Paris adalah satu risiko yang penuh cabaran yang harus ditempuhi bersama krew.

"Memang banyak dugaan yang kami tempuh sepanjang berada di sana, lebih-lebih lagi kami tiada permit untuk buat penggambaran. Masa mula-mula sampai di airport London kami ditahan kerana bawa banyak peralatan kerana mereka fikir kami datang untuk mencari kerja di sana, namun kami dilepaskan setelah mereka periksa latar belakang saya dalam internet.

"Di sana, kami terpaksa mencari sumber lampu yang ada untuk penggambaran dan terpaksa rakam perjalanan sepanjang berada dalam keretapi dan kapal terbang senyap-senyap kerana bimbang jika dihalau pihak berkuasa. Cuaca ketika itu juga hampir 5 darjah celcius. Namun pengalaman itulah yang seronok sebenarnya sebab ia sangat mencabar," ujarnya yang berhabis hampir RM150,000 hanya untuk penggambaran di luar negara.

Isabella Milik Vee

Sengaja mencipta wajah baru milik Isabella yang kerap kalinya dikaitkan dengan wajah pan-asia, namun bagi Rosyam, Isabella dicipta khas untuk dibawakan oleh Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-20, Vanidah Imran.

"Saya tak mahu yang celup sebab sebelum ini begitulah imej Isabella. Saya mahu tukar pandangan masyarakat bahawa Isabella boleh menjadi sesiapa pun kerana ia hanyalah nama. Bukanlah seperti yang dipaparkan sebelum ini. Vee adalah wajah terbaru Isabella kerana kemampuannya menjiwai watak itu.

"Saya gunakan nama wanita untuk drama terbaru ini kerana wanita itu begitu penting dalam kehidupan kita. Lahirnya lelaki dari insan yang bernama wanita. Di telapak kaki wanita ada syurga di bawahnya. Dalam perutnya kita bersarang selama sembilan bulan. Jadi bagaimana dapat dinafikan kepentingan mereka? Sebab itu banyak tajuk drama saya akan gunakan nama wanita," katanya yang bertanggungjawab mempopularkan kembali lagu Isabella nyanyian Search dalam drama terbaru di Astro Prima.

Isabella arahan Amie Maziah ini menyingkap kisah cinta Isabella (Vanidah Imran) yang mengalami gangguan emosi akibat kehilangan kekasihnya dalam kemalangan. Di rawat di hospital akibat trauma telah menemukan Isabella dengan Nazman (Rosyam Nor) yang turut mengalami trauma selepas kematian isteri, Sharmila (Kartina Ayoob) yang mengandung dalam satu kemalangan.

Pertemuan yang bermula dengan hanya berkongsi masalah kemudiannya membibitkan perasaan cinta antara mereka. Masalah mula timbul apabila Nazman disaman oleh bapa Sharmila akibat dihasut oleh Shasha (Izreen Azminda) yang ditolak cintanya oleh Nazman.

Isabella pula didatangi Vivian (Corrie Adrienne) yang mengaku kenalan lama kekasihnya. Saksikan Isabella setiap Selasa bermula 13 Julai ini, jam 9.30 malam hanya di Astro Prima.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: