APABILA melihat sahaja raut wajahnya, ramai yang dapat meneka pemilik nama penuh Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar atau lebih dikenali sebagai Sheera ini adalah anak kepada pelakon veteran Aznah Hamid.
Bakat lakonan yang diwarisi daripada ibunya menjadikan Sheera antara bintang muda yang menarik perhatian pengarah.
Malah dia sendiri mengakui ibunya menjadi sumber inspirasi dalam dunia lakonan.
“Sejak kecil saya sering mengikut Mama ke lokasi penggambaran dan di situ juga ramai yang mengenali saya. Ketika saya berumur sembilan tahun saya telah ditawarkan watak anak kepada ibu saya sendiri.
“Sejak itu, saya mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan tapi secara sambilan sahaja terutamanya semasa cuti sekolah. Namun ketika berada di kolej, peluang berlakon semakin banyak dan saya berbincang dengan keluarga sama ada mahu meneruskan bidang ini atau tidak,” jelasnya yang mendapat sokongan sebagai pelakon daripada keluarga tercinta.
Dalam pada itu, pelakon yang terkenal dengan watak Halimah Jonggang ini turut menjadikan ibunya sebagai panduan dalam membentuk kerjaya lakonannya.
“Jika dahulu orang lebih mengenali saya sebagai anak kepada Aznah Hamid berbanding bakat lakonan saya. Mereka ambil saya berlakon untuk pegang watak sebagai anak kepada Mama sebab wajah kami lebih kurang sama.
“Tapi kini saya sudah boleh berdiri sendiri tanpa membawa nama Aznah Hamid lagi. Namun begitu, tugas saya juga lebih berat kerana saya perlu menjaga nama baik dan kualiti lakonan agar tidak mendatangkan masalah kepada Mama,” ujarnya yang kini sibuk dengan pengambaran filem KL Gengster arahan Shamsul Yusof.
Menurutnya lagi, sepanjang bergelar pelakon banyak ilmu dan tunjuk ajar yang telah diturunkan oleh ibunya.
“Dari dulu lagi setiap kali mendapat tawaran berlakon, saya akan rujuk dahulu dengan Mama sama ada boleh bawa atau tidak sesuatu watak," katanya.
Bagaimanapun sebagai anak, Sheera mengakui sering merajuk dan terbawa-bawa perangai sewaktu berada di rumah apabila berlakon bersama ibunya.
“Mungkin kerana kami rapat saya akui mempunyai ego sendiri. Kadang-kala ketika ditegur ada juga saya buat muka merajuk tapi sebenarnya apa yang Mama tegur ada kebenarannya.
“Ada juga yang sering membandingkan lakonan kami. Saya tidak kisah sebab bakat yang ada juga saya warisi dari mama cuma generasi sahaja berlainan,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: