
Namun, Farhan yang popular menerusi lagu ‘Aku Sahaja Yang Tahu’ ini, dia tidak pernah ‘menghilangkan’ diri selama tiga tahun dari dunia seni.
”Farhan sebenarnya kini sedang menguruskan perniagaan sendiri iaitu Agroinvest Sdn Bhd dan Agrovalley Sdn Bhd, yang menjalankan penyelidikan dan pembangunan baja. Ianya merupakan perniagaan bersama keluarga.
”Malah, saya juga ada membuat persembahan nyanyian di majlis keraian dan makan malam cuma tidak disiarkan di mana-mana media. Ini semua adalah di bawah kelolaan syarikat saya sendiri iaitu Mezoforte Records. Saya tak pernah tinggalkan dunia nyanyian,” katanya.
Ketika ditanya tentang kisah cintanya yang sudah dapat dihidu baru-baru ini, Farhan mengakui dia kini sedang hangat bercinta dengan seorang jejaka yang hanya mahu dikenali sebagai Abang S dan kini sedang menyambung pengajian di United Kingdom.
”Kami sudah 4 tahun menjalin hubungan cinta. Dia merupakan kawan kepada ahli kelab peminat saya sendiri dan kami bertemu ketika peminat meraikan hari jadi saya. Dari pertemuan itu kami berkawan dan lama-kelamaan jatuh cinta. Dia seorang yang sangat memahami dan kelakar tapi tidaklah seperti ‘mat jiwang’.
”Hubungan jarak jauh ini banyak dugaannya. Ketika mula-mula berjauhan, saya agak terasa kehilangan. Namun lama-kelamaan saya sudah mampu menerimanya. Kami kini lebih senang berhubungan melalui YM (Yahoo Messenger) dan Facebook.
”Walaupun sudah lama bersama, kami belum merancang untuk mendirikan rumah tangga. kami mahu fokus pada kerjaya dan saya hanya berserah pada jodoh. Apabila dia kembali nanti kita akan tengok macam mana. Kalau semuanya OK, kami kahwinlah. Tapi yang paling penting adalah kerjaya kami berdua dahulu,” katanya.
Menyentuh tentang bentuk badannya yang kini semakin langsing, Farhan memberitahu dia kini mengamalkan makan sebelum jam enam petang.
“Saya kini dalam proses menjaga bentuk tubuh. Saya harus berdisiplin untuk mendapatkan bentuk tubuh yang lebih baik. Kini, saya tidak akan makan selepas jam enam petang. Setakat ini hasilnya memberangsangkan,” katanya.
Ditanya adakah dia menguruskan badan untuk upacara perkahwinannya yang bakal berlangsung, Farhan segera menafikannya. Malah, katanya ia adalah satu penampilan baru untuk album yang akan datang dan ianya adalah saranan pengurusnya yang baru iaitu Sam Kassim.
”Ayah saya tidak menjadi pengurus saya lagi kerana memberi tumpuan kepada perniagaan keluarga. Walaupun begitu ayah masih menjaga dan memantau muzik serta produksi album baru saya,” katanya yang akan muncul dengan album kedua selepas Aidilfitri ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: