NADIA, 11 (bukan nama sebenar), ketagihan seks selepas diperkosa oleh seorang lelaki berusia 30-an yang menawarkan untuk menghantarnya pulang dari sekolah akhir tahun lepas.
Selepas insiden tersebut, Nadia mengakui perlakuannya mula berubah. Dia semakin aktif mencari kenalan siber khususnya lelaki dan gemar menghabiskan masa dengan rakan-rakan sama ada di sekolah mahupun di kawasan kejiranan tempat dia tinggal.
Gelora nafsunya tidak dapat dikawal apabila ada di kalangan rakan siber yang baru dikenalinya mengajaknya berjumpa dan melakukan hubungan seks.
Kenikmatan yang diperoleh daripada pengalaman lalu menjadikan Nadia tidak berfikir panjang.
"Saya mahu rasa apa yang saya pernah rasa dahulu. Ia adalah keseronokan yang sukar digambarkan," ujarnya yang ditemui Jurnal di sebuah rumah perlindungan di ibu kota minggu ini.
Menyambung kisah hidup kanak-kanak ini, selepas berjumpa dengan lelaki belasan tahun yang baru dikenalinya di alam siber, boleh dikatakan setiap minggu mereka bertemu.
Dua bulan selepas berkenalan, mereka mula menjalin hubungan seks. Lokasinya boleh jadi di mana saja, sama ada di rumah lelaki terbabit mahupun di dalam kereta.
Nadia terus hanyut apabila ketagihannya memuncak selepas mencapai akil baligh pada usia 11 tahun.
Bahkan, dia akui pernah melayan sembilan lelaki dalam satu masa.
Tersisih
"Saya hamil hasil daripada hubungan seks rambang itu. Sebelum ini, saya hanya menganggapnya sebagai aktiviti yang menyeronokkan.
"Saya tidak sangka dan tidak tahu perbuatan itu boleh menyebabkan saya mengandung," katanya yang memiliki tubuh seakan pelajar sekolah menengah.
Ditanya punca jalan hidupnya tercorak begitu, mudah sahaja jawapan kanak-kanak ini.
"Saya sering berasa tersisih apabila berada dalam keluarga. Saya hanya dua beradik dan adik lelaki baru berusia empat tahun.
"Sebelum ada adik, saya tinggal dengan nenek kerana emak dan ayah sibuk bekerja. Selepas nenek meninggal, saya tinggal dengan mereka ketika berumur sembilan tahun.
"Emak dan ayah selalu melebih-lebihkan adik saya. Saya tertekan apabila selalu diminta mengalah dan diherdik walaupun melakukan kesalahan kecil.
"Sebab itu saya lebih suka keluar dengan rakan-rakan selepas waktu sekolah. Mak dan ayah tak tahu sebab mereka bekerja hingga lewat petang," katanya yang kini hamil empat bulan.
Kisah Nadia adalah sesuatu yang mengejutkan bagi insan semudanya.
Gejala seks bawah umur khususnya budak sekolah rendah dilihat semakin membimbangkan dengan wujudnya kes-kes ekstrem seperti ini.
Aib
Jika sebelum ini kita sering membaca kes-kes perlakuan seks di kalangan kanak-kanak disebabkan menjadi mangsa rogol atau penderaan seksual, namun kini keadaan semakin berubah.
Golongan yang masih mentah ini sudah terdedah untuk terlibat secara sukarela dalam kancah seks bawah umur.
Pada 26 Jun lalu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendedahkan, sehingga April tahun ini, ia telah menerima sebanyak 111 laporan kehamilan di kalangan remaja berbanding 131 kes sepanjang tahun lepas.
Angka itu turut menunjukkan peningkatan kerana pada tahun 2008, hanya 107 kes remaja hamil bawah umur dilaporkan.
Dua hari kemudian, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula mengeluarkan statistik perangkaan kes-kes penderaan fizikal, cabul kehormatan dan rogol melibatkan kanak-kanak. Bagi tahun ini, dari Januari hingga Jun, sebanyak 2,193 kes telah dilaporkan.
Statistik tersebut dilihat meningkat dua kali ganda daripada 2,236 kes pada tahun 2005 dan 5,744 kes pada tahun 2008.
"Jika ada yang terkejut melihat statistik ini, percayalah, ia hanya sebahagian kecil daripada angka sebenar.
"Banyak kes yang tidak dilaporkan kerana keluarga selalu menganggap ia sesuatu yang memalukan apatah lagi jika perlakuan itu mengakibatkan kehamilan di luar ikatan perkahwinan," ujar Ketua Perkhidmatan Awam dan Pengaduan MCA, Datuk Michael Chong.
Tambah beliau, ramai remaja yang terlibat dalam kancah ini enggan ke depan apatah lagi memikirkan rasa takut dan aib yang perlu ditanggung sekiranya perbuatan mereka diketahui keluarga dan masyarakat.
|
|
"Mereka hilang arah dan sebahagiannya memilih untuk lari dari rumah atau menghadapi konflik secara sendirian.
"Apabila berada dalam keadaan terdesak, mereka bijak berlakon supaya semuanya kelihatan seperti biasa. Malah, ada di kalangan mereka, khususnya yang terjebak dalam seks bawah umur mampu menyembunyikan kehamilan itu daripada keluarga dan masyarakat," ujarnya yang mengendalikan tiga kes jenayah seksual tahun ini.
Kehamilan di kalangan remaja boleh terjadi atas beberapa sebab.
"Dalam beberapa kes yang saya kendalikan, ramai gadis mengakui mereka melakukannya secara sukarela kerana yakin dengan cinta selain janji manis teman lelaki yang akan bertanggungjawab.
"Bagi kes yang disyaki terdapat unsur paksaan atau rogol, saya akan melaporkannya kepada polis," ujarnya yang juga Penasihat dan Pegawai Khas kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Ragut masa depan
Minggu lalu, sebuah akhbar berbahasa Cina di Pulau Pinang melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun melahirkan seorang bayi lelaki hasil mengadakan hubungan seks dengan remaja 14 tahun yang tinggal bersebelahan rumahnya.
Biarpun pihak berkuasa enggan mengesahkan perkara tersebut, masyarakat tidak boleh menganggapnya sebagai warna-warni kehidupan sahaja sebaliknya sesuatu perlu dilakukan untuk mengelak perkara seperti itu daripada terus berleluasa.
Sementara itu, wakil Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia, Youssouf Mohammad Oomar memberitahu, kehamilan pada awal usia remaja berpotensi meragut masa depan mereka.
"Terpaksa berdepan dengan pandangan serong masyarakat, kehamilan luar nikah akan menjadi beban emosi dan psikologi kepada mereka.
"Keadaan lebih buruk jika mereka memikirkan tiada pilihan lain kecuali menggugurkan kandungan secara haram yang boleh mengancam nyawa atau melahirkan anak tersebut," katanya.
Tambah Youssouf, selain peluang menyambung pelajaran semakin menipis, mereka juga berdepan risiko kesihatan hasil hubungan kelamin yang tidak selamat hingga mengakibatkan kehamilan.
"Secara jelas, kehamilan di kalangan kanak-kanak adalah berpunca daripada aktiviti seksual tanpa sebarang perlindungan sama ada secara sukarela atau tidak.
"Selain mengandung yang dianggap sebagai isu pokok, masalah kesihatan yang lain perlu diambil kira.
"Mereka mungkin terdedah kepada risiko jangkitan penyakit seperti HIV atau penyakit kelamin yang lain," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: