|
|
TIDAK sekadar memberi peluang kepada para penyanyi bergenre rock seperti Ella, kumpulan May, XPDC dan Amuk, Festival Muzik Menara Kuala Lumpur 2010 yang diadakan selama tiga hari mulai esok, 30 Julai hingga 1 Ogos ini, turut mempersembah grup indie tampil di atas pentas menghiburkan peminat.
Dianggarkan 50 pemuzik indie yang bakal menggegarkan pekarangan Menara Kuala Lumpur tidak lama lagi termasuk kumpulan baru hendak menapak dalam muzik aliran sama. Ia juga dianggap sebagai platform kepada anak-anak muda memperlihat bakat masing-masing dalam berkarya.
Menurut Presiden Kelab Rekreasi Selebriti, Azmi Mohd. Nor, penyertaan 50 artis dalam program berkenaan dianggap mampu menarik perhatian pengunjung untuk hadir memeriahkan Festival Muzik Menara Kuala Lumpur 2010.
"Biarpun sebelum ini pihak kami berusaha mendapatkan artis popular lain termasuk Search dan Wings, malangnya mereka tidak lapang pada waktu tersebut. Enggan menyerah kalah, kami terus cari penyanyi lain. Daripada situlah, kami berjaya dapatkan Ella, XPDC, May dan Amuk.
"Menariknya, kumpulan indie baik berpengalaman atau baru akan meneruskan kelangsungan acara gah ini selama dua hari iaitu Sabtu dan Ahad. Jika boleh, penganjur berhasrat membawa lebih 200 artis dalam acara seperti ini. Begitupun, impian ini sukar untuk direalisasi," katanya ketika ditemui pada sidang media acara berkenaan di Menara Kuala Lumpur minggu lalu.
Dalam waktu sama, jelas Azmi, artis lain dialu-alukan hadir sebagai menyokong acara itu dan melibatkan diri dengan kempen 1Malaysia Love Music.
Sementara itu, Pengurus Besar, Bahagian Perhubungan Awam dan Acara, Menara Kuala Lumpur, Zainal Abd Aziz memberitahu acara berkenaan menjadi sokongan kepada industri muzik tempatan agar peminat menghargai sumbangan seni artis.
"Kami jangka ramai peminat hadir memeriahkan acara selama tiga hari ini. Lokasi ini saja mampu menampung 6,000 pengunjung. Pada hari pertama persembahan, kami juga jemput penyanyi, Zainal Abidin. Dia tidak menyanyi seperti biasa. Sebaliknya, dia hadir sebagai duta alam sekitar," jelas Zainal.
Ratu Rock Negara, Ella, 44, meluah keterujaan untuk mengadakan persembahan sempena Festival Muzik Menara Kuala Lumpur 2010 merupakan kolaborasi antara Kelab Rekreasi Selebriti, Rakan Muda, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).
"Sebelum ini, saya ada menjayakan undangan nyanyian korporat di Menara Kuala Lumpur. Tetapi, kalau menyanyi untuk festival ini dengan keadaan di tempat terbuka sambil disaksikan ribuan peminat, memang belum pernah. Justeru, saya tidak sabar menantikan saat indah ini.
"Bahkan, dapat berkongsi pentas dengan May, XPDC dan Amuk menjadi keterujaan buat saya. Yang pasti, persembahan saya pada acara ini bakal ditampilkan dalam atmosfera santai dan relak berbanding baru-baru ini dijayakan di Istana Budaya. Saya mahu semua yang bergembira pada hari itu," ungkapnya.
Ella, XPDC, May dan Amuk akan mengadakan persembahan pada 30 Julai bermula pukul 8 malam. Keesokan harinya dan Ahad bermula pukul 2 petang hingga 12 tengah malam disambung dengan himpunan pemuzik indie lebih 50 grup termasuk Bunkface, Pesawat, Tilu, Meet Uncle Hussein, Republic Of Brickfields, Radhi OAG dan ramai lagi.
Selain dihiburkan dengan persembahan nyanyian, program kesenian itu turut menyediakan pameran kesenian, tarian, fesyen dan persembahan deejay, jualan produk berkaitan muzik, 1 Malaysia Autoshow dan pameran radio amatur.
Tiket konsert boleh dibeli dengan harga RM35 untuk sehari dan RM50 (tiga hari) di Tiket Axcess menerusi talian 03-77115000. Selain itu, ia turut dijual di laman web, di www.axcess.com.my atau pusat jualan Tiket Axcess.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: