|
|
SELEPAS kejayaan musim pertama yang mencatat rating tertinggi di TV2 iaitu sebanyak dua juta penonton, kini program realiti pencarian pelakon, Pilih Kasih kembali lagi dengan musim kedua.
Program Pilih Kasih yang dicetuskan oleh aktor dan penerbit terkenal Rosyam Nor itu ternyata melahirkan pelakon yang berkualiti apabila para peserta musim pertama sudah mula mendapat tempat di dalam industri lakonan tempatan.
Meskipun juara musim pertama Pilih Kasih, Iqbal Mazlan belum sebaris dengan pelakon popular yang lain, namun, prestasinya cukup memuaskan hati Rosyam.
"Bukan mudah untuk menjadi pelakon yang dikenali dalam masa yang singkat, saya sendiri mengambil masa selama 13 tahun untuk dikenali dan berada di tahap yang selesa.
"Jadi saya berharap, bekas peserta Pilih Kasih tidak menganggap program ini umpama program realiti yang lain kerana lakonan dan nyanyian dua bidang yang berbeza," ujarnya ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran program tersebut baru-baru ini.
Disoal pula tentang filem Kekasih yang dijanjikan kepada juara program Pilih Kasih musim pertama, Rosyam menjelaskan, ia tidak dapat dilakukan kerana masih belum ada keyakinan.
"Memang saya katakan dulu untuk buat filem Kekasih tetapi apabila saya melihat populariti bekas peserta Pilih Kasih musim pertama tidak mencapai piawaian yang saya kehendaki, saya ambil keputusan tangguhkan dulu.
"Buat apa saya melabur duit banyak-banyak sedangkan saya tidak yakin dengan pulangannya. Buat filem bukan satu perkara yang mudah kerana ia melibatkan risiko yang tinggi tetapi kalau drama saya berani dan sudah mula menggunakan bekas peserta Pilih Kasih," katanya.
Mencari hero dan heroin
Bercakap tentang program Pilih Kasih 2, Rosyam memberitahu, pihaknya akan lebih teliti memilih calon-calon peserta memandangkan harapan tinggi diletakkan pihak RTM dan penaja utama Telekom Malaysia terhadap musim kedua.
"Sudah pasti yang kedua lebih baik daripada yang pertama. Ini kerana segala kekurangan dan kesalahan musim pertama akan saya perbaiki pada musim kedua," tuturnya.
Konsep Pilih Kasih 2 tidak banyak berubah, cuma berlaku beberapa perubahan yang dirasakan perlu untuk membawa program Pilih Kasih 2 ke arah yang lebih baik dan diharap dapat menarik lebih ramai penonton.
"Antara perubahan daripada 20 finalis dikurangkan kepada 16 orang finalis, jika dulu ada dua drama tetapi untuk musim kedua hanya akan ada sebuah drama menggabungkan semua peserta dan ia akan diarahkan oleh Aziz M. Osman.
"Sesi menolong yang ditampilkan pada Pentas Pilih Kasih juga dikekalkan tetapi ia akan lebih santai dan penuh komedi. Apa yang saya lihat pada musim pertama, apabila sesi monolog terlalu serius penonton akan cepat bosan, sebab itu saya akan jadikan ia lebih menarik.
"Teater muzikal juga akan dikekalkan kerana saya menerima banyak maklum balas positif mengenainya," kata Rosyam lagi.
Menyasarkan lebih 5,000 orang bakal menghadiri uji bakat yang akan diadakan di beberapa lokasi seluruh negara, Rosyam yakin Pilih Kasih 2 akan lebih menarik minat orang ramai.
"Saya yakin sebab pada musim pertama lokasi uji bakat di Shah Alam sahaja kita dapat 3,000 penyertaan, itu belum campur lokasi-lokasi lain.
"Cuma saya harap peserta yang datang itu nanti bukan harap nak jadi artis sahaja tetapi benar-benar minat dalam bidang lakonan. Mereka perlu mempunyai pakej seperti rupa dan bakat yang seimbang untuk layak menjadi hero dan heroin drama dan filem tempatan," balasnya yang melihat kualiti tersebut ada pada aktor Remy Ishak.
Sama seperti musim pertama, selain Rosyam bertindak sebagai penerajui utama yang mempunyai kuasa veto menentukan nasib setiap peserta sambil dibantu oleh pengarah dan pelakon terkenal, Erma Fatima.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: