Thursday, July 8, 2010

Felda Kledang menang RM1j

SLIM RIVER - Felda Kledang, Kota Tinggi, Johor, meraih hadiah wang tunai RM1 juta selepas memenangi Anugerah Keceriaan Kampung Felda (AKKF) sempena Hari Peneroka 2010 dalam satu majlis yang diadakan di perkarangan MRSM Felda Kampus Tun Abdul Razak, Trolak, di sini semalam.

Pengurus Rancangan Felda Kledang, Abdul Rozak Ahmad Marzuki berkata, kemenangan itu adalah atas usahasama kesemua 380 penduduk kampung tersebut dan mereka akan bermesyuarat minggu depan bagi mencari jalan terbaik membelanjakan wang kemenangan itu.

“Setakat ini, kampung kami mempunyai kemudahan infrastruktur termasuk sekolah, kedai dan masjid yang masih baik. Keputusan ke mana akan dibelanjakan wang itu kelak bergantung kepada keputusan bersama,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Abdul Rozak berkata kemenangan itu begitu bermakna bagi para penduduk kerana mereka secara bergotong royong membersihkan kawasan kampung termasuk mengekalkan keindahan dengan menanam pokok bagi menambah keceriaan.

Katanya, kemenangan itu di luar jangkaan kerana kesemua kampung Felda seluruh negara terlibat dalam pertandingan.

Hadiah disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: