
“Malah kini semakin hebat pula dengan bertambahnya cerita tidak benar yang dikaitkan dengan saya diperkatakan,” terang Misha Omar ketika ditemui di Istana Budaya baru-baru ini ketika majlis sidang akhbar teater Muzikal Tun Mahathir yang melibatkan dirinya sebagai pelakon.
Walaupun sudah dilanda beberapa kontroversi sebelum ini, kali ini sekali lagi kisah sensasi mengatakan dia mengandung dikaitkan selepas khabar angin akan berkahwin dalam tempoh terdekat ini bagi menutup segala spekulasi.
”Malah di awal penglibatan saya di dalam bidang nyanyian dulu pun, saya dikatakan seorang janda dan diceraikan oleh suami kerana tidak merestui saya menjadi seorang penyanyi. Ternyata cerita tersebut langsung tidak benar.”
”Sekarang saya serahkan penilaian kepada peminat sama ada mereka percaya saya sudah berkahwin atau tidak. Bukannya apa, kalau saya nafikan pun, peminat sememangnya ada yang sudah mempercayai saya kini bergelar isteri ketiga. Yang tinggal hanyalah untuk mendapatkan pengesahannya daripada saya sahaja,” katanya yang turut berlakon dalam teater Uda dan Dara.
Selain itu, ada juga khabar angin yang menyatakan Misha sebenarnya sudah lama berkahwin dengan seorang usahawan yang menjalankan perniagaan kereta mewah, namun merahsiakannya daripada diketahui orang ramai terutama peminat dan pihak media.
”Kadang-kadang saya rasa malas nak bercerita tentang perkara ini. Selepas dilaporkan berkahwin, saya dilaporkan pula mengandung. Sedangkan saya sekarang tengah sibuk dengan pelbagai aktiviti seni yang tidak putus-putus,” katanya.
Menurutnya, hati siapa yang tidak kecewa bila difitnah sedemikian rupa namun apabila difikirkan semula hanya senyuman yang terukir dan menganggap semua ini harus ditempuhi apabila berada dalam dunia hiburan.
Namun begitu pertemuan dengan penyanyi yang popular dengan lagu Adam Dan Hawa ini jelas menyatakan statusnya kini masih lagi bujang walaupun kala ini mempunyai seorang anak angkat yang dijaganya seperti anak sendiri.
”Dengan itu sekarang saya perlu melalui dengan penuh kesabaran, mungkin akan datang semua cerita ini akan reda dan kebenaran akan muncul jua. Begitu juga dengan cerita perkahwinan saya ini, jika saya sudah berkahwin mesti ada ada menampilkan diri dengan bukti-bukti yang lebih kukuh,” katanya yang merasakan cepat atau lambat pasti gosip ini akan berakhir.
Sementara itu, Misha turut sempat berkongsi menceritakan perihal keluarganya di Kelantan yang turut diterjah oleh segelintir pihak yang inginkan cerita sebenar.
”Di Kelantan gosip ini telah tersebar sejak tahun lalu. Cuma di Kuala Lumpur ia memakan masa yang agak panjang untuk diketahui. Paling tidak seronok apabila orang datang menyerbu rumah keluarga saya di kampung semata-mata untuk mengetahui perkara sebenar.”
”Pada ketika itu kesian saya kepada keluarga, mereka sememangnya tidak biasa dengan situasi sebegini. Malah ada yang turut mengugut keluarga saya bahawa mereka mahu menunjukkan surat nikah saya.”
”Apa pun saya tidak risau kerana saya berada di pihak yang benar. Lagipun sekarang, kalau hendak pastikan seseorang itu sudah berkahwin atau tidak, rujuklah di pejabat pendaftaran perkahwinan. Boleh lihat sama ada nama saya ada atau tidak,” katanya yang turut pernah membintangi filem-filem seperti Gerak Khas The Movie dan Main-Main Cinta.
Misha turut menyatakan pada peringkat awal, keluarganya turut mengalami tekanan kerana sedikit panik, namun apabila dirinya menjelaskan perkara sebenar, semuanya dapat menerima keadaan ini.
Menurutnya, kalau dia benar-benar ingin berumah tangga, keluarga yang akan menjadi orang pertama mengetahuinya. Malah dia juga tidak berhasrat untuk membelakangkan keluarga yang begitu banyak memahami dirinya yang terlibat dalam dunia seni ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: