Thursday, July 1, 2010
Chermaine akui selesa mengenakan tudung
Biarpun berlainan agama, namun dua wanita cantik ini sama-sama berganding bahu bersama dua pelakon lagi menjayakan drama terbaru bertajuk tudung ekspres.
Lebih manis lagi mereka mengenakan tudung demi menjayakan watak masing-masing agar dapat menghidupkan jalan cerita.
Bagi satu-satunya pelakon berbangsa Cina di dalam drama ini yang membawa watak wanita mualaf, Chermaine Poo tuntutan watak yang memerlukan dia mengenakan tudung bukanlah satu masalah malah dia mengakui selesa mengenakan tudung.
Malah tanggapan lamanya bahawa memakai tudung seolah-olah mengongkong si pemakai dan panas adalah salah sama sekali.
”Tak dapat saya bayangkan dulu melihat wanita memakai tudung dan fikir pastinya mereka akan berasa panas. Namun, Tahun Baru Cina lalu, sewaktu melancong ke Dubai bersama keluarga, kami dibawa melawat masjid di sana. Jika mahu masuk ke dalam kami harus menutup aurat dan diberikan tudung. Pertama kali memakainya saya rasa sangat selesa dan berasa sejuk, rupanya tanggapan saya salah selama ini,”
”Kebetulan saya mendapat watak Mei dalam drama Tudung Ekspres yang juga memerlukan saya memakai tudung. Kedua-duanya berlaku pada masa yang sangat tepat, ketika saya merasakan memakai tudung adalah sangat selesa dan mendapat pula watak begini,”
“Keluarga saya sangat terbuka dan mereka tidak kisah saya melakonkan watak wanita Islam, cuma mereka tak galakkan saya melakonkan watak yang terlalu seksi,” kata bekas akauntan bank dan Miss Malaysia 2005 ini.
Dikelilingi rakan-rakan beragama Islam membuatkan Chermaine melihat sendiri agama ini bukanlah seperti yang dilabel media barat sebagai pengganas. Baginya, ramai yang tidak mengerti, akan salah faham mengenai Islam dan hanya menilai menerusi sudut sisi tanpa melihat aspek yang lain.
”Golongan lain membuatkan Islam nampak jahat tapi sebenarnya bukan begitu. Saya banyak bergaul dengan orang Islam dan mempelajarinya,”
”Kami pernah berbincang mengenai agama kerana saya ingin tahu setiap agama yang ada di dunia. Dalam drama Tudung Ekspres saya belajar pelbagai perkataan baru seperti Alhamdulillah, memberi salam dan belajar membaca al-Quran dan saya lebih memahami Islam berbanding sebelumnya,” katanya.
Bertudung perlu ikhlas: Lisa
Bertudung demi menjayakan watak yang diberi bukanlah pengalaman pertama yang dilalui Lisa setelah bergelar anak seni.
Malah bagi Lisa sebagai orang Islam di dalam majlis-majlis tertentu dia tetap bertudung untuk menghormati majlis.
Bagaimanapun, untuk bertudung sepenuhnya bagi Lisa, ia memerlukan keikhlasan dari hati dan perlu betul-betul bersedia agar pemakaian tudung tidak dianggap sekadar meremehkan hukum Islam.
”Persoalan adakah saya akan bertudung atau bilakah saya akan bertudung adalah terlalu peribadi untuk dijawab. Biarlah saya yang menentukan apa jua yang ingin dilakukan. Kalau boleh saya mahu ianya berlaku secara natural tanpa paksaan. Tapi jujurnya, setakat ini saya belum rasa ingin ke arah itu. Tak guna juga bila pakai tudung kerana terpaksa dan hati kita tak ikhlas dengan perubahan itu. Pastinya perubahan itu tak akan kekal lama.
”Tapi untuk bawakan watak sebegini, rasanya tak ada masalah kerana tak ada yang luar biasa mengenainya. Setiap kali ada majlis yang memerlukan saya bertudung, saya akan hormati majlis demikian dan menutup aurat. Bertudung dalam membawakan watak bukanlah cabaran yang besar kerana satu-satunya cabaran yang harus diatasi adalah untuk memikat hati penonton,” kata Lisa yang juga dilantik sebagai duta produk Garnier yang baru.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: