Wednesday, July 14, 2010

Cenderawasih bawa malang




KUALA LUMPUR - Sekumpulan penjenayah bukan sahaja tahu mencuri atau merompak tetapi mereka kini beralih arah iaitu selain membuat kejahatan, mereka juga percaya hobi memelihara burung Cenderawasih boleh membawa tuah.

Mengikut kepercayaan sesetengah pihak, burung Cenderawasih yang dikaitkan dengan legenda alam kayangan hanya boleh didapati di kawasan sejuk selain akan memberi rezeki kepada si pembelanya.

Ia juga dikatakan penjaga kepada sejenis batu zamrud yang tinggi nilainya dan akan mati jika terjatuh ke tanah tetapi bangkainya tidak mereput atau berbau busuk, malah mengeluarkan haruman tersendiri.

Semalam, polis yang menyerbu sebuah bengkel membaiki kereta bukan sahaja menemui sebanyak 42 buah kereta import curi malah turut menjumpai dua ekor burung Cenderawasih yang dipercayai bertuah itu, beberapa ekor kucing hutan serta 28 ekor burung pelbagai spesies seperti kakak tua dan merbuk.

Serbuan pada pukul 3 pagi di Jalan Sibu 17, Taman Wahyu, Kepong di sini itu dilakukan selepas polis mendapati pemilik yang berselindung di sebalik bengkel kereta itu turut terlibat mencuri kereta dan terbabit dalam penipuan di sekitar Lembah Klang sejak tiga tahun lalu.

Siasatan awal mendapati mereka turut menyeludup hidupan liar terancam di sebalik perniagaan bengkel tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, serbuan dilakukan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Katanya, dalam serbuan itu polis menahan dua lelaki berusia dalam lingkungan 20 dan 40-an yang merupakan pekerja bengkel dan runner sindiket itu.

"Polis berjaya merampas sebanyak 42 buah kereta curi seperti Nissan Cefiro, Toyota Harrier, Vios, Camry dan empat buah lori satu tan yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM1 juta.

"Kita masih memburu pemilik dan penyelia bengkel iaitu Terry Tong Cheong Gek, 29, dan Calvin Lim Foong Kui, 50, yang telah melarikan diri," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: