Thursday, July 8, 2010

Beast terharu di Malaysia


ENAM anak muda bergelar Beast ini dalam rangka lawatan ke Asia dengan strategi untuk meningkatkan nama mereka di mata dunia.


HARAPAN untuk meraih sambutan yang hangat terutamanya di negara yang menggunakan bahasa berlainan sudah semestinya tidak telalu tinggi.

Namun atas faktor lagu dan popular serta mempunyai wajah yang kacak, kumpulan yang disertai enam anak muda lelaki dari Korea bergelar Beast itu mampu menarik sehingga 3,000 penonton untuk hadir ke mini konsert mereka yang berlangsung di Kl Live, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Enam anak muda berusia lingkungan 19 dan 20 tahun itu terdiri daripada Jun Hyung, Yo Seap, Gi Kwang (Aj), Dong Woon, Hyun Seung dan Du Jun.

Keterujaan anak muda negara ini terutamanya di kalangan perempuan terhadap kumpulan itu telah membuatkan mereka terharu terutamanya bila ada peminat yang menghafal lagu mereka.

Menurut Jun Hyung yang mewakili rakan-rakannya, mereka tidak sangka ada antara peminat mereka di negara ini boleh menghafal lagu Beast walaupun dalam bahasa Korea.

"Kami gembira apabila mendapat sambutan yang menggalakkan dari orang Malaysia. Walaupun ini merupakan kali pertama kami singgah di Malaysia, penerimaan masyarakat di sini membuatkan kami terharu," katanya ketika ditemui Kosmo! di Hotel Nikko Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, dia yakin dengan mengadakan Asia Tour itu dapat menaikkan populariti kumpulannya setanding dengan band dari Korea yang lain.

"Selain daripada bertemu peminat di negara ini tujuan kami datang juga adalah untuk mengenali lebih dekat dengan orang di Malaysia.

"Kami terpaksa bekerja keras demi untuk bersaing dengan band lain yang juga sedang meningkat naik di Korea," tambahnya.

Jelasnya lagi, lawatan ke negara-negara Asia adalah sebagai satu strategi mereka untuk meningkatkan nama Beast di mata dunia.

"Setakat ini respons yang kami terima sangat memberangsangkan terutamanya bila berhadapan dengan peminat.

"Kami boleh lihat sokongan yang mereka berikan kepada kami," ungkapnya.

Gementar


BEAST tidak menyangka diminati peminat dari kalangan orang Melayu.


Jun Hyung dalam pada itu mengakui, dia agak gementar bila berhadapan dengan para wartawan ketika sidang akhbar.

Katanya, walaupun gementar dan kurang bersedia mereka tetap hadapi soalan-soalan yang diberikan dengan tenang.

"Sidang media adalah penting untuk kami, kerana melalui itu jugalah promosi kumpulan kami diberikan.

"Setakat ini kami masih mampu mengharungi dan menjawab soalan yang diberikan," katanya.

Bercerita mengenai ahli kumpulan mereka lagi, Jun Hyung turut memberitahu Yo Seap dan Du Jun merupakan yang nakal antara mereka berenam.

"Mereka selalu mengusik antara satu sama lain. Kami tidak kisah pun asalkan mereka suka dengan apa yang mereka buat.

"Perangai mereka itu juga adalah penyeri dalam kumpulan ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: