PENYANYI Noor Hasliah Abu Hasan atau Alyah tampak semakin seksi dan berani dalam penampilannya sejak kebelakangan ini.
Lantas, peluang bersemuka dengan penyanyi lagu Realiti Dewi itu di Konsert Kemuncak Suria FM, Sabtu lalu memberi peluang kepada mStar Online untuk mendapatkan reaksinya berhubung perkara tersebut.
Dengan gaya selamba, Alyah menyangkal dirinya seksi. Malah, baginya jika ada yang beranggapan dirinya seksi, mungkin itu adalah diri dia sendiri.
"Saya tak fikir diri saya semakin seksi. Apa juga imej dan penampilan yang saya ketengahkan adalah mengenai diri saya," katanya yang selesa dengan imej rambut ala Mohawk itu.
Tambah Alyah, orang yang sudah lama mengenali dirinya pasti tahu bahawa apa jua imej atau pakaian yang dikenakan adalah penampilan yang disenanginya sejak dulu lagi.
"Sejak dulu pun jika orang benar-benar mengenali saya, memang inilah imej saya. Kalau ada orang anggap ia seksi, saya tak boleh nak tutup mulut mereka," ujarnya sambil menyangkal dakwaan imejnya kian seksi sejak semakin popular.
Ditanya mengenai perkembangan karier, duta Avon Colour itu berkata, dia bakal tampil dengan sebuah lagi single baru berjudul Kau Bisa, selepas Aidilfitri nanti.
Lagu ciptaan Omar K dan Sulu Sarawak itu bakal memperlihatkan sisi berbeza Alyah mendendangkan sebuah lagu rancak ala-ala lagu Lady Gaga iaitu Bad Romance.
"Saya akan tampil dengan lagu terbaru berjudul Kau Bisa selepas Aidilfitri nanti. Lagu itu sebuah lagu rancak ala-ala lagu Bad Romance nyanyian Lady Gaga," jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: