
PORT DICKSON - Lapan nelayan kapal Jian Sheng 18 yang terbakar kira-kira 15 batu nautika dari perairan Port Dickson semalam diselamatkan oleh kapal persiaran Star Virgo.
Dalam kejadian pada pukul 7 pagi, kapal Jian Sheng 18 yang membawa muatan ikan dalam pelayaran dari Mauritius ke Singapura manakala kapal Star Virgo pula dalam perjalanan dari Singapura ke Pelabuhan Klang.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Kuala Linggi, Kapten Maritim Ibrahim Mohamed berkata, kapal Jian Sheng 18 difahamkan mengalami masalah enjin sebelum berlaku kebakaran di bilik jentera.
Berikutan kebakaran itu, menurut beliau, semua krew termasuk tekong kapal cuba memadamkan api namun gagal dan mereka kemudian terpaksa berkumpul di bahagian depan kapal sebagai langkah keselamatan.
"Kapal persiaran Star Virgo yang kebetulan melalui perairan itu telah menyelamatkan semua krew kapal Jian Sheng 18 pada pukul 10.30 pagi.
"Mereka yang selamat ialah dua warga Taiwan dan enam warga Filipina masing-masing berumur 20-an dan 50-an," kata beliau kepada pemberita di sini semalam.
Ibrahim memberitahu, pihaknya menghantar pasukan menyelamat selepas menerima maklumat dari Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru mengenai kebakaran kapal itu pada pukul 7.30 pagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: