Friday, October 2, 2009

Vee, Adibah tidak mahu dibandingkan


VANIDAH Imran (kiri) dan Adibah Noor berharap tidak akan ada pihak yang cuba membandingkan watak-watak mereka dalam Cuci the Musical dengan pelakon asal.


SUDAH menjadi adat seandainya seseorang pelakon itu dipilih untuk membawakan watak yang pernah dibawa oleh pelakon asal, pastinya mereka akan dibanding-bandingkan.

Tetapi, apabila memikirkan tanggungjawab yang sudah diberikan, mahu atau tidak ia harus dilaksanakan dengan sebaik mungkin agar penonton akan dapat menerima lakonan mereka sebaik mungkin.

Itulah harapan dua wanita sofistikated ini saat diminta pandangan mereka tentang tugas yang harus dilunaskan apabila terpilih membintangi Cuci the Musical (CTM).

Vanidah Imran dan Adibah Noor masing-masing membawakan watak CJ dan Farah yang sebelum ini dibawakan oleh Erra Fazira dan Umie Aida dalam versi filem.

CTM akan membuka tirainya di Panggung Sari, Istana Budaya bermula bermula 28 Oktober hingga 5 November ini.

Dengan penuh rendah diri, baik Vanidah atau Vee dan Adibah memohon kepada penonton agar mereka tidak dibandingkan dengan lakonan Erra dan Umie.

"Saya memang berharap agar tiada perbandingan yang akan dilakukan kerana saya akan membawakan watak CJ ini mengikut acuan saya sendiri.

"Tiada lain yang saya harapkan hanyalah penonton dapat menerima lakonan saya dengan seadanya kerana apa yang saya lakukan ini jugalah untuk perkembangan karier seni saya.

"Memang sudah lama saya mengimpikan untuk bekerja dengan sebuah produksi sebegini kerana yang terlibat semuanya hebat-hebat belaka. Saya sendiri mahu belajar dan menambahkan ilmu pengetahuan saya," kata Vee penuh bersungguh.

Dunia teater muzikal bukanlah satu perkara yang asing buat Vee kerana dia sendiri pernah terlibat dalam beberapa produksi sebelum ini.

Antaranya ialah teater muzikal Putra dan kali terakhir adalah Mahsuri beberapa bulan yang lalu.

Vee yang juga penyandang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-20 menerusi filem The Red Kebaya ini juga menambah, CTM memberinya satu cabaran yang berbeza.

Apa tidaknya, kali ini dia perlu menyanyi dan menyanyi yang ternyata mengorak setapak langkah lagi dalam karier seninya sebagai seorang aktres.

Apatah lagi dapat berlatih dan berkongsi pengalaman dengan Stephen Rahman-Hughes, sememangnya cukup membawa tuah kepada Vee.

"Sebelum ini saya hanya mampu melihat bagaimana dia membantu dan membimbing mereka yang terlibat dalam pementasan Puteri Gunung Ledang the Musical.

"Tetapi, kali ini saya pula berpeluang untuk berbuat demikian dengannya. Memang saya akui, ia merupakan pengalaman yang cukup manis," ujar ibu kepada dua cahaya mata ini yang turut gembira kerana mendapat bimbingan dua aktivis teater tersohor, Datuk Zahim Al-Bakri dan Harith Iskander selaku pengarah untuk CTM.

Tidak gentarkah dia dengan penerimaan peminat apabila menonton dia menyanyi dan menari kelak, sambil ketawa kecil, Vee melihatnya bukanlah sebagai satu masalah besar.

Kerana dia percaya dengan latihan intensif yang giat dijalankan kini, segala kelemahan dapat diperbaiki demi memberikan persembahan yang terbaik.

"Begitu juga dengan nyanyian saya dalam pementasan ini kerana lagu-lagu yang saya nyanyikan semuanya mengikut nada dan kesesuaian vokal saya," ujarnya yang hanya sempat bercuti raya selama empat hari sahaja kerana perlu menjalani latihan untuk CTM.

Sementara itu, Adibah sememangnya sudah tidak sabar lagi untuk beraksi di pentas teater kerana buat julung kalinya, dia diberikan peranan yang boleh dikira agak besar juga.

Sebelum ini, dia pernah terlibat dalam pementasan teater muzikal Chang & Eng pada tahun 2001.

Namun, kali ini semuanya berbeza untuk Adibah dan seperti Vee juga, dia tidak mahu wataknya sebagai Farah dibandingkan dengan Umie.

"Saya menjadi diri saya kerana itu kehendak pengarah yang mahu saya berasa selesa di atas pentas.

"Tetapi, apa yang utama adalah keserasian saya dengan semua pihak yang terlibat dalam pementasan ini kerana itu yang banyak membantu untuk saya menghidupkan watak Farah," katanya penuh rendah diri.

Adibah juga bimbang seandainya dia jatuh sakit sekali gus akan menjejaskan mutu suaranya sehingga dia tidak mampu menyanyi.

Namun, penyanyi dan pelakon berbakat besar itu menjelaskan finalis One In A Million musim ketiga, Esther sudah terpilih menjadi pelakon gantiannya.

Dalam pementasan CTM, Adibah akan menyanyi sebuah lagu solo dan sebuah lagi lagu duet bersama Awie yang membawakan watak Jojo.

Apa yang menariknya, kali ini kisah percintaan antara Farah dan Jojo akan dikembangkan dan sudah pasti, babak percintaan antara mereka akan mencuit serta menggeletek penonton kelak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: