Friday, October 30, 2009

Penduduk marah Taliban


BEBERAPA penduduk semalam mencari barang milik mereka di sebuah pasar yang menjadi sasaran serangan bom kereta di Peshawar kelmarin.


PESHAWAR - Masih tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab melakukan serangan letupan bom kereta di sebuah pasar di sini dengan menyebabkan 105 orang terbunuh dalam kejadian yang berlaku kelmarin.

Kebanyakan yang terbunuh ialah wanita dan kanak-kanak dan ia dilakukan sebagai percubaan untuk menjejaskan lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton ke negara tersebut.

Kejadian itu menyebabkan Pakistan menghantar 30,000 askar bagi melakukan serangan ke atas pejuang-pejuang Taliban di kawasan Waziristan Selatan di sempadan Afghanistan.

Sejumlah penduduk berang dengan kejadian kejam itu manakala kedai dan pasar ditutup selama tiga hari sebagai tanda berkabung berikutan kejadian berkenaan.

"Adik dan bapa saya tidak mempunyai kaitan dengan Taliban atau tentera. Kenapakah mereka dibunuh? Kami mendapat cebisan-cebisan daging mayat keluarga kami itu. Hampir sukar untuk mengenal pasti mayat mereka," kata seorang penduduk, Saddiq Khan.

Sementara itu, Hillary semalam mempertahankan dasar-dasar AS dan menyatakan pihaknya tidak akan menghentikan perjuangan menentang kumpulan Taliban.

Beliau membuat kenyataan itu semasa menjawab soalan daripada pelajar Pakistan di Kolej Universiti Lahore yang mendapat gelaran Universiti Oxford Pakistan.

Menurut Hillary, serangan bom kereta di barat laut Pakistan itu menunjukkan bahawa negara tersebut kini berdepan dengan pejuang-pejuang ekstremis.

"Ini bukan perjuangan anda sahaja. Anda kini berdiri di depan medan pertempuran tetapi kami kini berdiri bersama anda," kata Hillary.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: