Ahmad Dhani sememangnya tidak pernah lekang daripada kontroversi dan kisah hangat sama ada ianya datang dari dirinya sendiri ataupun dari pihak lain. Antara kisah panas itu ialah perbalahannya dengan syarikat rakaman dan juga kes perceraiannya dengan Maia Estianty yang dianggap peminat sebagai konflik mengelirukan lantaran sikap menuding jari antara satu sama lain terhadap punca kemelut.
Terkini, kisah sangat peribadi Ahmad Dhani yang juga tuan punya syarikat Republik Cinta Management seperti didedahkan media Indonesia dalam satu temu bual menggemparkan dunia hiburan negara itu apabila mengakui yang dia sudah mempunyai isteri baru atau dalam kata lainnya bernikah lagi setelah berpisah dengan Maia.
Ketika majlis pelancaran album jazz pertamanya, Muhammad Dhani & The Swinger di ibu kota baru-baru ini, media tempatan turut mengajukan pertanyaan mengenai siapakah wanita yang menjadi isteri keduanya itu, Ahmad Dhani hanya tersenyum dan lebih selesa mengatakan biarlah jawapan tersebut hanya dia sahaja yang tahu.
Akan tetapi, ramai sedia maklum, Ahmad Dhani sebelum ini pernah digosipkan mempunyai hubungan yang sangat istimewa dengan salah seorang bekas anggota kumpulan Ratu, Mulan Jameela.
Di majlis itu juga, vokalis utama kumpulan Dewa 19 itu turut menyatakan beliau amat menyokong amalan poligami.
“Saya percaya semua lelaki di dunia ini sukakan poligami. Cuma mereka takut untuk menyatakan hasrat mereka untuk berpoligami. Bagi saya, poligami yang betul adalah diketahui oleh isteri yang pertama,” kata Ahmad Dhani yang merakamkan semula lagu Madu Tiga nyanyian Allahyarham Tan Sri P Ramlee dalam album jazznya itu.
Baru-baru ini juga, penyanyi yang cukup terkenal dengan sikap yang agresif ini pernah mengeluarkan kenyataan pedas yang mengatakan mereka yang menentang poligami adalah munafik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: