Penghidap kanser payu dara, Sugunawathy dan Tammy menceritakan sokongan seorang lelaki mampu membangkitkan semangat mereka.
SUGUNAWATHY Kanapathy, 52, mungkin sudah tiada lagi hari ini jika bukan kerana sokongan moral daripada suaminya. Hampir sedekad lalu, niat untuk menamatkan hidup terlintas di fikiran. Semuanya gara-gara dia didiagnosis dengan kanser payu dara.
Selepas menjalani beberapa sesi rawatan kemoterapi, dia mulai melihat kesan perubahan fizikal yang bukan sahaja hodoh tetapi turut melemahkan semangatnya.
"Setiap tiga minggu, saya perlu menjalani rawatan kemoterapi. Dalam sebulan, hanya seminggu yang saya ada selera makan.
"Selalu juga terasa hendak muntah. Jadi, saya perlu duduk dekat dengan tandas pada setiap masa. Saya beritahu ibu dan suami, kalau boleh tidak mahu teruskan rawatan. Lagi baik mati," katanya kepada Kosmo! dalam satu pertemuan di ibu negara baru-baru ini.
Ibu kepada lima orang anak itu telah didiagnosis menghidap kanser payu dara tahap kedua. Faktanya, Sugunawathy sebenarnya tidak mempunyai sejarah keluarga yang menghidap penyakit tersebut. Bahkan, dia juga jarang jatuh sakit.
Sebak
Maka, berita diagnosis itu tidak disambut dengan hati yang terbuka. Malah suaminya, Paneer Selvam, 52, juga sukar menahan sebak di hati saat mengetahui berita itu.
Namun, kesedihan itu tidak semestinya bersifat negatif. Di sebalik realiti pahit yang perlu ditelan Sugunawathy, dia sebenarnya mendapat sokongan yang tidak berbelah bagi daripada suaminya.
"Memang pun awalnya saya menangis bila tahu isteri menghidap kanser. Tetapi situasi ini mengingatkan saya agar tidak memarahinya lagi. Saya benarkan dia ke mana-mana yang dia suka," kata Paneer dalam satu sesi berkongsi cerita sempena pelancaran buku His Her Story baru-baru ini.
Sepanjang tempoh sukar itu, Paneer banyak menghabiskan masa bersama isterinya. Tidak hanya menjadi 'tiang' pemberi sokongan dari segi mental, dia turut membantu meringankan beban isterinya di rumah.
Di rumah, Paneer bagaimanapun bukan satu-satunya lelaki tunggal dalam keluarga Sugunawathy yang mengambil berat terhadap tahap kesihatannya.
"Waktu saya kata hendak mati, saya kena marah. Ibu, suami dan adik lelaki juga bertekad mahu 'angkat' saya ke hospital," ujar Sugunawathy yang bersyukur dengan sokongan ahli keluarganya.
Sebenarnya, Sugunawathy bukan satu-satunya pesakit kanser payu dara yang berjaya berdiri semula berikutan sokongan daripada insan bergelar lelaki.
Reaksi suami
Hakikatnya, salah satu ketakutan dan keresahan utama pesakit kanser payu dara ialah mengetahui reaksi si suami. Pendapat terhadap kebarangkalian ditinggalkan suami hampir setiap masa bermain di fikiran mereka.
Tetapi kepada Ray Walker, dia tidak sekadar mencurahkan sokongan kepada isterinya, Tammy. Ray menyakinkan Tammy bahawa dialah satu-satunya isteri ketika suka dan duka. Kata-kata itu dibuktikan menerusi tindakannya.
"Saya telah berjanji akan berada di sisinya," kata Ray.
Ray sendiri pernah berdepan dengan episod hitam kerana kehilangan ibu akibat kanser tekak. Biarpun sedar diagnosis kanser itu sesuatu yang menakutkan, dia rasional tentang sinar harapan untuk isterinya kembali sihat.
Tammy yang didiagnosis telah menjalani lumpektomi dan 15 sesi terapi radiasi, selain pengambilan ubat-ubatan tambahan.
Hari ini, Tammy mengetuai kumpulan protesis (anggota-anggota palsu) payu dara untuk membantu pesakit kanser yang memerlukan bantuan.
Kisah dua keluarga itu menunjukkan betapa kanser payu dara bukan hanya isu wanita. Ia sepatutnya satu beban yang harus dipikul bersama oleh lelaki bernama suami, abang, adik mahupun teman.
Justeru, himpunan testimoni edisi bahasa vernakular, His Her Story diyakini menjadi satu 'peralatan' penting. Ini kerana buku yang boleh didapati dalam empat bahasa iaitu bahasa Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil itu mampu menyuntik sokongan golongan lelaki terhadap wanita kesayangan mereka bagi menjalani imbasan kanser payu dara.
Kompilasi testimoni itu diambil daripada para peserta program MENCARE yang merupakan satu projek kolaborasi antara syarikat farmaseutikal, Pfizer dan sebuah badan bukan kerajaan, National Council of Women's Organisations (NCWO) sejak tiga tahun lalu.
Peranan suami
Timbalan Presiden NCWO, Datuk Ramani Gurusamy berkata, MENCARE menekankan betapa pentingnya kerjasama lelaki dalam menangani isu dan stigma yang dihadapi oleh pesakit penyakit maut itu.
"Mengapa wanita-wanita Malaysia malu dan enggan untuk menjalani imbasan kanser payu dara secara kerap? Terdapat pelbagai sebab sama ada kurangnya kesedaran dan maklumat sehinggalah takut jika mengetahui kebenarannya.
"Jadi, peranan seorang suami ialah mengambil berat terhadap wanita yang dia sayangi. Ia amat penting sepanjang tempoh kritikal si isteri," katanya.
Sebanyak 251 kes kematian akibat kanser payu dara dilaporkan pada tahun 1991. Angka tersebut meningkat kepada 321 kes empat tahun berikutnya.
Pada tahun 2000, jumlah itu melonjak kepada 420 kes. Berdasarkan perangkaan Pendaftar Kanser Kebangsaan, sebanyak 3,738 kes kanser payu dara baru dilaporkan pada tahun 2003.
MENCARE merupakan satu program latihan komprehensif yang dijalankan di serata negara untuk menggalakkan lelaki supaya prihatin terhadap isu kanser payu dara.
Tambahnya, pengesanan awal penyakit kanser perlu bermula daripada hubungan sesama pasangan atau keluarga. Jadi, lelaki juga harus sedar peranan mereka terhadap pasangan masing-masing.
"Saya berharap His Her Story akan membuka mata mereka. Besar jugalah harapan kami agar suatu hari nanti, program MENCARE akan disepadukan dalam setiap peringkat masyarakat menerusi kerjasama semua pihak," kata Pengarah Urusan Pfizer, Ahmet Genel.
Sementara itu, Koordinator Projek MENCARE, Dr. Ang Eng Suan dalam buku His Her Story pula berkongsi sepuluh tip yang boleh dipraktikkan oleh golongan lelaki.
Katanya, wanita perlu diyakini bahawa pengesanan kanser awal dapat mencegah pembuangan keseluruhan payu dara.
Selain sokongan dalam bentuk kata-kata, suami juga digalakkan berterus-terang tentang kerelaannya menemani isteri ketika saat-saat sukar.
"Yakinkan dia yang anda masih mencintai dan menyayanginya lebih-lebih lagi sepanjang tempoh rawatan berlangsung," katanya seperti yang dipetik daripada buku His Her Story.
Kepada yang berminat untuk mendapatkan His Her Story, sila hubungi NCWO di talian 03-7943 3008 atau e-mel ke alamat: ncwohq@yahoo.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: