PUAS mencari-cari siapa aktres yang layak membawa watak ibu biologi Natrah yang berbangsa Belanda, akhirnya pengarah Erma Fatima diketemukan dengan pilihan yang paling tepat iaitu Samantha Schubert, model, aktres dan juga bekas Miss Malaysia/World 1991.
"Saya tertarik melihat peribadi Sam (Samantha). Mujurlah dia sanggup memberi komitmen dan menolak segala tawaran lain untuk beraksi dalam teater Natrah," jelas Erma.
Erma juga yakin, tuntutan watak ibu Natrah berbangsa Belanda mampu dibawa oleh Samantha.
"Saya tahu personaliti Samantha memang sesuai untuk membawa watak ini. Tambahan pula saya percaya Sam akan memberi komitmen yang baik," jelas Erma.
Samantha pernah berlakon dalam filem Sumo-Lah (2007) dan The Red Kebaya pada tahun 2006.
Samantha juga pernah diiktiraf sebagai Pelakon Wanita Terbaik (dalam watak Pembantu) untuk Festival Filem Malaysia Ke 20 pada tahun 2007.
Dan ramai juga tidak mengetahui yang bakat Samantha sudah lama diiktiraf dipersada antarabangsa bila dia pernah beraksi dalam filem-filem blockbuster Hollywood, An Act Of Courage, Cyberstrike dan Red Scorpion 2.
Bagi Samantha pula, yang sudah berkahwin dan mempunyai 3 orang anak, peranannya dalam teater Natrah meskipun kecil tetapi tetap penting.
"Saya terima watak ibu Natrah kerana ia membantu penceritaan teater ini. Saya tak sabar hendak mulakan latihan," kata Samantha yang sibuk menguruskan hal promosi untuk 'Cuci The Musical' waktu ini.
Samantha amat teruja dengan naskah Natrah kerana pernah membaca dan mengikuti perkembangannya.
Aktres yang peramah ini 'mengenali' Natrah kerana sering membaca dan mendengar kisah Natrah dalam beberapa versi.
Untuk membawa watak Adeline, seorang Serani, ibu Natrah @ Maria Huberdina Hertogh, bukan sesenang yang disangka.
Kata Samantha, selain menjiwai watak itu, dia juga terpaksa mencari kekuatan emosi untuk keluarkan watak Adeline.
"Naskah ini memang cukup menarik. Walaupun Natrah bukan tokoh sejarah tapi dia adalah mangsa pergolakan politik waktu itu," kata Samantha.
Kisah Natrah memang kisah sejarah yang tidak pernah dilupakan. Beliau dilahirkan pada tahun 1937 di Tjimahi, Pulau Jawa.
Nama asalnya ialah Maria Hertogh dan anak kepada seorang askar Belanda, Petrus Hertogh dan Adeline (seorang Serani). Beliau adalah anak ketiga daripada enam orang adik beradik.
Bagi Samantha, apa yang hendak diangkat bukannya Trajedi Natrah tetapi "cerita di sebalik Natrah."
"Saya rasa kita semua sudah sedia untuk mendengar kebenaran dis ebalik cerita ini," kata Samantha.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: