Friday, October 2, 2009

Yusof mahu pecah rekod tiru 20 suara


YUSOF Chong popular kerana kelebihannya meniru suara individu terkenal dalam lawak jenakanya.


PELAWAK Yusof Chong dikenali ramai kerana dia sering mengadakan persembahan pentas dengan cara meniru suara ahli-ahli politik, penyanyi dan pelakon terkenal dalam nada gaya serta suaranya yang sinis.

Beliau antaranya sering meniru suara mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Datuk Ahmad Daud dan Ramli Sarip dalam persembahannya.

Lawak jenaka Yusof yang mencuit hati itu bukan sahaja menarik perhatian ramai, tetapi ia juga menguji daya kreativitinya agar suara individu yang ditirunya itu kedengaran hampir sama dengan suara individu terbabit.

Malah, pelawak berusia 62 tahun itu juga kini sedang berusaha untuk meniru lebih banyak suara individu-individu terkemuka bagi membolehkan namanya dicatatkan dalam buku Malaysia Book of Records (MBOR).

"Buat masa ini, saya sedang berlatih untuk meniru sekurang-kurangnya 20 suara individu-individu yang terkenal dalam suatu persembahan khas yang akan saya rancang diadakan tidak lama lagi.

"Antara suara yang akan saya tiru pada persembahan itu ialah suara Tan Sri Jins Shamsudin, Tun Lim Kheng Yeik, Datuk David Arumugam (Alleycats), R. Azmi, Halim Yatim, Zain Azman dan ramai lagi.

"Kalau usaha itu berjaya, nama saya akan dimasukkan dalam MBOR. Ini kerana setakat ini belum ada rakyat Malaysia yang mampu meniru suara individu lain melebihi 20 jenis gaya suara yang berbeza," katanya ketika ditemui Hits di Hulu Klang, Selangor baru-baru ini.

Serba boleh

Bapa kepada lima anak dan tiga cucu ini berharap agar ada stesen televisyen yang akan merakamkan atau menyiarkan persembahan tersebut secara langsung bagi membuktikan bakat serta kreativitinya itu.

Jelas Yusof buat masa ini, dia juga sudah mendapatkan penaja supaya hasratnya untuk mencipta nama dalam MBOR akan menjadi kenyataan sebelum dia bersara daripada bidang lawak jenaka.

"Saya mahu lakukan sesuatu yang bermakna dan diingati sebagai pelawak yang serba boleh selepas saya tiada lagi nanti (meninggal dunia). Apatah lagi, sekarang ini saya pun sudah tidak berapa sihat untuk berlawak seperti dulu," ujarnya dalam nada perlahan.

Anak kelahiran Kedah ini yang menghidap penyakit jantung, paru-paru, darah tinggi dan buah pinggang berharap penyakit tersebut tidak akan menghalangnya dalam usaha untuk merealisasikan impiannya itu.

Justeru, Yusof kini sedang melakukan pelbagai perancangan rapi termasuklah mengadakan latihan selama sebulan sebelum persembahan yang amat bersejarah dalam kariernya itu diadakan kelak.

"Selain mencari idea dan berlatih saya juga terpaksa menjaga kesihatan saya sebaik mungkin supaya saya sihat semasa persembahan itu diadakan. Saya sekarang ini lebih banyak berehat dan bersenam di rumah.

"Ini kerana bukannya mudah untuk meniru lebih 20 suara individu lain pada satu-satu persembahan. Ia memerlukan idea yang banyak dan stamina yang tinggi," katanya yang mendapat ilham persembahan itu daripada sebuah rancangan lawak jenaka di Itali.

Tambah Yusof, konsep lawak jenakanya yang membabitkan isu-isu politik cukup diminati ramai kerana ia banyak menyelitkan unsur sindiran sinis yang bukan sahaja diterima oleh para penonton tetapi juga individu-individu terbabit yang ditiru suaranya.

Sambil menyifatkan konsep lawak jenaka seperti itu yang amat popular di negara maju seperti Amerika Syarikat, beliau yakin para peminat di negara ini juga sudah muak dengan bahan lawak yang 'kosong' dan stereotaip.

"Sampai bila kita mahu disajikan dengan lawak-lawak bodoh atau slapstik yang ketinggalan zaman. Kita mahu selain berhibur lawak jenaka juga mampu membina pemikiran para penonton dengan sesuatu bahan yang disampaikan.

"Saya biasa tiru suara Samy Vellu, beliau tidak marah tetapi tersenyum apabila melihatkan telatah saya meniru suaranya. Saya juga dapati para penonton sekarang ini sudah matang dalam menilai bahan-bahan lawak yang disampaikan.

"Walaupun ada unsur-unsur politik tetapi saya tidak mewakili mana-mana parti politik. Saya tidak berniat mempengaruhi mana-mana pihak. Saya hanya mahu berlawak dan menghiburkan para penonton. Biarlah mereka fikir sendiri apa yang saya cuba sampaikan," jelasnya.

Selain merancang mencipta nama dalam MBOR, Yusof pada masa sama sedang sibuk menyiapkan album terbarunya yang dirakamkannya sendiri dengan kos penerbitan mencecah RM15,000.

Dalam album berkonsepkan lawak jenaka itu, beliau turut berduet dengan Datuk Yusni Hamid menerusi lagu berjudul Bila Mata Bertentang Mata di mana ia akan berada di pasaran dalam waktu terdekat ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: