Friday, October 30, 2009

SOSEH SOSEH: Lagu Aidil buat bakal isteri


DALAM ruangan ini Selasa lalu, SS paparkan cerita rakan SS yang begitu teruja dapat menjalani kursus kahwin bersama penyanyi kumpulan Spider, Rustam Mustafah atau Tam di Zura's Akademik pada 4 Oktober lalu. Tam akan berkahwin dengan Aida Mustafa di Pontian, Johor pada 8 November ini.

SS juga dapat tahu, seorang lagi artis lelaki yang dicungkil bakatnya menerusi program realiti, Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), Nik Mohd Aidil Nik Zamri, 26, juga bakal mengakhiri zaman bujangnya dengan kekasih hati, Juniza Azizan, 28, pada Januari 2010.

Kalau tidak silap SS, majlisnya akan berlangsung di Kampung Pengantin, Jalan Genting Klang tetapi SS dan warga kerja Harian Metro belum mendapat kad undangan.

SS harap Aidil tidak lupa melayangkan undangan supaya dapat berkongsi hari bahagianya dengan pembaca akhbar ini.

SS juga dimaklumkan pasangan ini menjalani kursus lebih awal dari Tam dan Aida di tempat sama beberapa bulan lalu.

Baguslah, buat persediaan awal supaya dapat membuat persiapan majlis persandingan dengan lancar. Tidaklah kelam kabut nak fikirkan kursus dan fikirkan baju pengantin. Kursus itu cukup penting dan perlu didahulukan.

SS juga dengar, bakal isteri Aidil mempunyai saudara kembar dan sudah berkahwin. Kini tiba giliran Juniza pula, maklumlah mereka bercinta sejak enam tahun lalu. Aidil juga sudah membuat persiapan dengan membeli rumah untuk tempat tinggal mereka nanti. Baguslah.

Lebih menarik, SS dapat tahu Aidil yang kini menjadi komposer sepenuh masa dengan Luncai Emas milik M Nasir, turut mencipta lagu khas untuk bakal isterinya, Bersamamu. SS belum berpeluang mendengar lagu itu lagi tetapi difahamkan, ia akan menjadi single untuk album penuh Aidil nanti.

Aidil yang memiliki ijazah Sarjana Muda Muzik dari International Kolej of Music (ICOM), kini sibuk menyiapkan dua lagu untuk Mawi. Tentunya nanti selepas berkahwin, ilham mencipta lagu datang mencurah-curah kerana kini sudah ada teman hidup.

Apapun, SS doakan Aidil dan pasangannya selamat menjalani kehidupan berumahtangga. Memang besar cabarannya apatah lagi bagi artis yang dikenali ramai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: