Friday, October 30, 2009

Program Astro Kasih platform bantu komuniti

Menerusi jenama Astro Kasih, sebuah program tanggung jawab korporat sosial, kakitangan Astro terus menghulurkan bantuan secara sukarela dengan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti.

Sehubungan dengan ini, lebih 100 kakitangan Astro termasuk bintang-bintang Akademi Fantasia dan juga penyampai radio SinarFM telah melibatkan diri dalam pelbagai acara sukarela di Kampung Sri Tanjong, Muar, Johor pada 24 Oktober 2009 (Sabtu) lalu.

Pelbagai aktiviti dianjurkan seperti program gotong royong membaiki sebuah rumah usang didiami pasangan warga emas, Sukan Rakyat dan gotong-royong memasak untuk 500 penduduk kampung. Majlis diserikan dengan penyerahan 60 cenderamata, termasuk beg sekolah dan buku nota istimewa buat kanak-kanak oleh kakitangan Astro..

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan menyertai kakitangan Astro dalam acara Sukan Rakyat dan sesi gotong royong memasak serta Pengerusi Astro All Asia Networks plc, Datuk Badri Masri yang turut menyerahkan sumbangan RM100,000 hasil keuntungan kutipan khidmta pesana ringkat (SMS) menerusi program Akademi Fantasia kepada Tabung Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Pagoh.

“Kami berhasrat untuk terus menyalurkan bantuan menerusi pelbagai aktiviti yang telah disusun secara terperinci untuk memberi manfaat kepada masyarakat komuniti di Pagoh. Di bawah payung penjenamaan Astro Kasih, objektif utama kami pada tahun ini ialah untuk terus menggalakkan kakitangan kami dalam menghulurkan bantuan secara sukarela bagi membantu mereka yang memerlukan sekitar Malaysia.

“Kami melihat kakitangan Astro sebagai duta apabila berada di luar tempat kerja dan percaya mereka semua harus menjadi contoh teladan apabila berkaitan dengan kerja sukarela tidak kira sama ada berada di dalam atau luar tempat kerja. Kami berharap dengan melibatkan diri dalam acara-acara sukarela untuk program komuniti Astro, sedikit sebanyak akan meninggalkan rasa tanggungjawab dalam diri masing-masing.” kata Badri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: