Mungkin ramai peminat juara Anugerah Juara Lagu ke 23, Meet Uncle Hussein berasa terkejut dan kecewa apabila band indie tersebut menyatakan hasrat mereka untuk mengundurkan diri daripada bersaing di peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 24 yang bakal berlangsung pada 6, 13 dan 20 November nanti.
Bagaimanapun, kekosongan MUH yang dijadualkan membuat persembahan pada 13 November nanti akan digantikan dengan sebuah lagi band indie, Grey Sky Morning untuk bersaing dengan 29 lagi lagu lain yang telah pun layak bertanding di peringkat separuh akhir MM24 dengan membawakan lagu Cinta Gila ciptaan Sharnizad dan Hafizal serta liriknya ditulis oleh Hafizal.
Kumpulan MUH yang sepatutnya mempertaruhkan lagu mereka yang berjudul Pari-Pari Di Bawah Angin hasil ciptaan dan lirik oleh Taja/Tassiq/Lan itu memberi alasan tiada persefahaman antara mereka untuk meneruskan saingan dalam separuh akhir MM24.
Pengurus Produksi Hiburan, Primeworks Studio Sdn Bhd, Fadzliniza Zakaria berkata: “Kami menghormati keputusan yang dibuat oleh MUH dan menerimanya dengan fikiran terbuka."
"Walaupun kami merasakan yang peminat-peminat MUH akan kecewa dengan keputusan itu, namun kami akur dan berpendapat bahawa mereka haruslah menyelesaikan masalah dalaman antara mereka dahulu. Keputusan memasukkan kumpulan Grey Sky Morning diambil memandangkan kumpulan itu merupakan lagu seterusnya yang berada di dalam carta selepas 30 lagu. Kami juga percaya Grey Sky Morning mampu memberikan saingan kepada lagu-lagu lain,” katanya.
Pemain gitar MUH yang juga salah seorang pencipta lagu tersebut, Taja berkata, keputusan menarik diri sudah dibincangkan bersama Tassiq dan Lan dan pihaknya bersetuju supaya lagu itu tidak dipersembahkan pada separuh akhir MM24.
“Bagi kami, lagu berkenaan memang tidak sesuai kerana dinyanyikan bekas vokalis, Lan sedangkan Lan tidak lagi bersama MUH sejak lebih tiga bulan lalu.
“Saya berpendapat keputusan itu tidak menjejaskan kemeriahan pertandingan itu kerana 29 lagu lain termasuk penyertaan lagu baru oleh Grey Sky Morning memiliki kekuatan tersendiri. Jadi, saingan kategori terbuka bermakna semua memiliki peluang sama rata untuk muncul juara,” jelas Taja ketika dihubungi.
Lan kini tampil dengan bandnya yang diberi nama Azlan & The Typewriter yang turut dianggotai oleh Tassiq.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: