Saturday, October 31, 2009

Pasukan petugas siasat laporan Ketua Audit Negara

PUTRAJAYA - Kerajaan menubuhkan pasukan petugas peringkat tinggi yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan untuk menyiasat laporan Ketua Audit Negara 2008 dan mengambil tindakan yang sesuai terhadap mereka yang bertanggungjawab bagi penyelewengan kewangan dan salah guna kuasa yang disebut dalam laporan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penubuhan pasukan petugas itu diluluskan oleh Kabinet yang bermesyuarat semalam dan selaras dengan usaha kerajaan untuk merealisasikan budaya prestasi tinggi dalam perkhidmatan awam.

"Kabinet memandang serius laporan itu dan telah memutuskan sebuah pasukan petugas ditubuhkan untuk menyiasat penyelewengan kewangan yang disebut dalam laporan itu.

"Jawatankuasa bukan sahaja akan menyiasat penyalahgunaan kuasa dan mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati terlibat dalam penyelewengan kewangan itu tetapi juga mengambil tindakan pentadbiran terhadap mereka yang didapati bersalah tetapi tidak boleh didakwa di mahkamah atas pelbagai sebab," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya.

Pasukan petugas itu turut dianggotai Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam dan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: