TANGGAL 26 Jun lalu, pelakon dan penyanyi yang pernah popular dengan lagu Matahari, Maya sah bergelar isteri kepada kerabat Pahang yang juga ahli perniagaan, Tengku Shahreza Tengku Abdul Aziz, 38. |
Kini, sudah empat bulan, Maya atau nama sebenarnya, Meyanaliza Ruslee, 33, melayari kehidupan berumahtangga dengan lelaki pilihannya itu.
"Saya semakin menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai isteri. Saya juga beruntung kerana dikurniakan suami yang cukup memahami minat saya yang mendalam pada bidang seni yang diceburi, sejak 12 tahun lalu.
"Sebagai isteri, saya juga menyokong minat dan hobi suami bermain kereta kawalan jauh berprestasi tinggi sejak zaman bujang lagi.
"Contohnya, jika tidak terbabit dengan mana-mana penggambaran drama atau persembahan, saya pasti meluangkan masa menemani suami dengan hobinya yang turut disertai anggota RC Club lain di Titiwangsa pada hujung minggu.
"Hobi bermain kereta kawalan jauh ini bukan saja diminati golongan kanak-kanak tetapi orang dewasa. Tidak dinafikan kos menceburi bidang itu mahal kerana membabitkan minyak kereta, enjin dan tayar yang perlu disediakan. Kereta juga perlu dicuci selepas selesai perlumbaan," katanya.
Selepas bergelar isteri, Maya berkata, dia tetap menjaga penampilannya seperti pada zaman anak dara dulu.
"Sebenarnya, selepas berkahwin, setiap wanita perlu lebih menitikberatkan penampilan dan kesihatan kerana ia penting untuk memastikan kebahagiaan rumah tangga mereka.
"Ramai yang menegur saya nampak lebih langsing selepas berkahwin. Hakikatnya, saya memang menjaga pemakanan yang diambil dan pada masa sama menghabiskan banyak masa di pusat gimnasium, dua kali seminggu sekarang," katanya.
Bagaimanapun, kata Maya yang berasal dari Macap, Johor, dia dan suami terpaksa menangguhkan hasrat untuk menimang cahaya mata dalam tempoh terdekat ini.
"Mungkin orang tidak tahu, kami juga belum sempat untuk berbulan madu kerana sibuk dengan urusan masing-masing. Kami merancang untuk memberi tumpuan membesarkan keluarga selepas majlis persandingan kedua-dua belah pihak, selesai nanti.
Buat masa ini, kata Maya, dia sibuk membuat persiapan untuk majlis persandingan di sebelah pihaknya yang akan berlangsung di Dewan Jubli Intan, Batu Pahat, Johor.
"Tarikh majlis persandingan di sebelah pihak saya juga dijangka pada 12 atau 13 Disember nanti. Setakat ini, persiapan dari segi pelamin dan baju untuk bersanding sudah siap.
"Selepas majlis persandingan di Batu Pahat, barulah kami buat persiapan untuk majlis persandingan di sebelah pihak lelaki di Kuala Lumpur pula," katanya.
Mengenai perkembangan kerjaya seninya pula, Maya berkata, dia kini mempertaruhkan single terbarunya berjudul Mata ciptaan komposer Cat Farish yang kini mula mendapat tempat di stesen radio tempatan.
"Selepas majlis persandingan selesai, saya akan memberi fokus mempromosikan single ini di kaca televisyen pula nanti.
Manakala, pembikinan mini album pula sudah siap sebanyak 60 peratus.
"Selain single Mata, satu lagi lagu yang sudah siap dan bakal dimuatkan dalam mini album ini juga ciptaan Cat Farish berjudul Bersalah," katanya.
Maya yang pernah muncul dengan album terakhirnya, Sinar Cinta pada 1998 berkata, dia juga sanggup keluar bajet sendiri untuk merealisasikan mini albumnya itu.
"Saya juga bergerak sendiri dan tidak bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman lagi. Syarikat Metadome pula terbabit dengan urusan promosi single Mata dengan stesen radio tempatan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: