Saturday, October 31, 2009

Meluncur di atas peminat




LELAKI ini sepatutnya datang ke Kuala Lumpur Julai lalu bagi melontarkan suara uniknya untuk lagu-lagu seperti Smack That, Beautiful, I Wanna Love You dan Dont Matter. Namun, disebabkan kecemasan keluarga pada waktu itu, lelaki Amerika-Senegal ini terpaksa membatalkan persembahan sulungnya di ibu negara.

Tiga bulan kemudian Aliaune Badara Akon Thiam atau lebih popular dengan nama Akon, kembali mengatur siri jelajah ke Asia Tenggara. Apa yang pasti kali ini, seperti dijanjikan, Kuala Lumpur berada dalam senarai kota persinggahan konsert jelajah itu.

Mengambil sempena album ketiganya Freedom, konsert yang diberi nama Akon Freedom Beach Concert 2009 ternyata memukau dan mengubat rindu lebih 15,000 yang membanjiri Surf Beach, Sunway Lagoon, Subang minggu lalu.

Penuh energi! Ia adalah perkataan yang paling sesuai untuk menilai persembahan lelaki ini. Memulakan persembahan dengan lagu Cross That Line, penyanyi yang selesa dengan irama R&B dan pop ini membuatkan peminatnya mula berteriak memanggil nama Akon.

Tanpa iringan penari tambahan atau penyanyi selingan, Akon semakin selesa melontarkan satu demi satu lagunya malam itu. Penyanyi yang juga terkenal sebagai komposer, penerbit album dan ahli perniagaan itu, kemudian mengalunkan gabungan lagu-lagu daripada album pertama dan keduanya, Trouble dan Konvicted seperti Shake Down, We Takin Over, I'm So Paid, Soul Survivor dan Locked Up.

Biarpun Akon antara penyanyi yang sangat misteri dan perahsia mengenai kehidupan peribadinya, namun ternyata bintang yang pernah membesar di Dakar, Senegal sehingga berusia 15 tahun tidak dangkal bila berkomunikasi dengan peminat di Sunway Lagoon.


MENDENDANGKAN 22 buah lagu popularnya, Akon memukau lebih 15,000 peminatnya pada Akon Freedom Beach Concert 09 di Sunway Lagoon.


Sebelum ini, bukan sahaja bilangan isteri Akon yang menjadi persoalan dan perhatian media, malah umur Akon sendiri masih menjadi misteri. Sesetengah media melaporkan Akon dilahirkan pada tahun 1981, manakala Associated Press menyatakan dia dilahirkan pada tahun 1973.

Tidak cukup dengan rahsia umur, sebagai seorang Muslim, Akon juga dilaporkan mempunyai tiga orang isteri. Bagaimanapun, Akon dalam satu temu bual menafikan laporan tersebut sambil memberitahu dia hanya mempunyai seorang isteri bernama Tomeka.

Biar berapa pun isterinya, yang pasti dia adalah bapa kepada enam orang anak dan Akon memastikan semua orang kesayangannya itu jauh daripada lensa kamera media.

"Mereka adalah nyawa saya, tetapi sebolehnya saya tidak mahu mereka dikejar jurugambar. Saya mahu mereka hidup seperti orang biasa tanpa gangguan," ungkap Akon dalam satu temu bual bersama media, Blender.

Bijak berinteraksi

Seorang insan yang sarat dengan kasih sayang, mungkin kerana itulah Akon banyak menyentuh mengenai nilai itu di pentas persembahannya.

Malah, malam itu Akon menggunakan namanya sebagai kata laluan untuk kasih sayang. "Kadang-kadang lelaki sukar untuk mengungkap kasih sayang atau malu untuk memulakan hubungan intim. Jadi malam ini, gunakan kata laluan Akon," katanya sebelum memulakan lagu Dangerous.

Bijak mengatur kata-katanya dalam berinteraksi mengikut lagu yang ingin didendangkan, Akon menyentuh lebih mendalam mengenai kasih sayang sebelum menyanyikan lagu I Wanna Love You.


AKON mengakui berbangga kerana selepas lima tahun dia kini bukan sahaja penyanyi yang disegani bahkan seorang komposer yang telah menaikkan artis-artis baru seperti Lady Gaga dan T-Pain


Malam di Surf Beach yang dibawakan oleh Marctensia itu menjadi semakin bingit dan panas apabila Akon mula menyanyikan lagu-lagu hitnya seperti Bartender, Smack That dan Beautiful.

Peminat yang semakin larut dengan energi luar biasa Akon, mula menyanyi dan menari mengikut irama rancak lagu-lagunya.

Bahkan, bagaikan menyerap tenaga yang diberikan peminat di Sunway Lagoon malam itu, Akon juga semakin teruja sehinggakan menanggalkan bajunya.

Kemuncak konsert penuh energetik Akon malam itu tentulah saat dia terjun ke atas lautan penonton. Lebih membuatkan ramai penonton histeria apabila Akon seperti meluncur kira-kira 100 meter dengan hanya menggunakan tangan penonton.

Malam yang semakin panas, membuatkan Akon mula menjirus badannya dengan beberapa botol air mineral selain turut dipercikkan kepada penonton di bawah.

Melabuh tirai konsert malam itu dengan lagu Sweet Escape keseluruhannya Akon mendendangkan 22 buah lagu dalam konsert yang berdurasi sekitar 90 minit itu.




Seronok di KL

Keesokannya saat ditemubual media, akui bintang yang menaikkan nama penyanyi seperti Lady Gaga itu bahawa dia sangat seronok membuat persembahan di Kuala Lumpur.

"Malam semalam sangat mengagumkan. Tentunya saya mahu kembali beraksi di Kuala Lumpur," akuinya.

Ditanya mengenai gimik hebat yang dilakukannya, Akon memberitahu pada mulanya dia tidak mahu melakukan aksi meluncur di atas penonton.

Bagaimananapun, dia mahu memberi peluang kepada penonton terutamanya di bahagian belakang untuk lebih mendekati dan merasai kehangatan konsert itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: